KUALA LUMPUR: Hanya tinggal beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan beregu wanita, Vivian Hoo-Woon Khe Wei yang masih mengibarkan cabaran Malaysia dalam saingan Thailand Masters, apabila masing-masing mara ke separuh akhir sebentar tadi.
Peng Soon-Liu Ying mengesahkan slot dalam kelompok empat terbaik selepas menewaskan Puavaranukroh Dechapol-Sapsiree Taerattanachai 21-15, 21-16 dalam aksi suku akhir, bakal menentang Bodin Isara-Savitree Amitrapai untuk perebutan tiket ke final esok.
Vivian-Khe Wei pula dipaksa bekerja keras sebelum mencatat kemenangan ke atas pasangan Thailand, Puttita Supajirakul-Sapsiree 22-20, 11-21, 21-9.
Mereka akan bertemu pilihan kelima kejohanan dari China, Tang Yuanting-Yu Yang, esok.
Sementara itu, dua beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong gagal meneruskan kemaraan selepas tewas di tangan lawan masing-masing.