Rabu, 10 Februari 2016 | 10:22pm

Zulfadli gagal cari hadiah hari lahir

BEKAS juara remaja dunia 2011, Zulfadli Zulkifli. - Foto Goh Thean Howe
BEKAS juara remaja dunia 2011, Zulfadli Zulkifli. - Foto Goh Thean Howe

KUALA LUMPUR: Bekas juara remaja dunia 2011, Zulfadli Zulkifli gagal memberikan hadiah istimewa buat dirinya sempena ulang tahun kelahiran ke-23, esok selepas tewas kepada pemain ke-12 dunia dari Korea Selatan, Son Wan Ho sekali gus tersingkir pada aksi pusingan ketiga Thailand Masters, hari ini.

Pemain perseorangan profesional itu yang tampil dengan keyakinan tinggi selepas menewaskan lawan sama ketika Grand Prix Emas India, dua minggu lalu bagaimanapun gagal meneruskan kecemerlangannya apabila tunduk 17-21, 14-21 dalam aksi di Stadium Nimibutr, Bangkok.

Nasib sama turut menyelubungi seorang lagi pemain perseorangan profesional negara, Tan Chun Seang apabila tewas kepada Jeon Hyeok Jin dari Korea 17-21, 21-18, 9-21.

Sementara itu, beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang dalam misi memburu tiket ke Sukan Olimpik tahun ini cemerlang apabila mara ke suku akhir selepas menewaskan pasangan Indonesia, Rian Swastedian-Apriani Rahayu 21-10, 21-8 dalam aksi pusingan kedua.

Mereka akan bertemu pasangan Thailand, Puavaranukroh Dechapol-Sapsiree Taerattanachai bagi merebut ke separuh akhir, esok.

Turut cemerlang beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang mara ke suku akhir selepas mudah menewaskan gandingan Thailand, Inkarat Apisuk-Sutichon Pol-Gul 21-11, 21-17 sekali gus akan bertemu juara dunia 2015 dan 2013, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia bagi merebut tiket ke separuh akhir.

Beregu wanita negara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei dipaksa bekerja keras sebelum mengesahkan tempat ke suku akhir dengan mengetepikan cabaran pasangan Indonesia, Tiara Rosalia Nuraidah-Rizki Amelia Pradipta 17-21, 21-14, 21-19.

Mereka akan menentang Puttita Supajirakul-Sapsiree, esok.

Berita Harian X