Jumaat, 5 Februari 2016 | 8:00am

Lazio dihukum gara-gara ejekan penyokong

PEMAIN Napoli, Kalidou Koulibaly mengawal bola ketika aksi perlawanan bertemu Lazio di Rome, semalam. - Foto AFP
PEMAIN Napoli, Kalidou Koulibaly mengawal bola ketika aksi perlawanan bertemu Lazio di Rome, semalam. - Foto AFP

MILAN: Lazio dikenakan hukuman denda serta sekatan di stadium bagi dua perlawanan Serie A selepas peminat kelab dari ibu negara Itali itu didapati melaungkan ejekan berbaur perkauman terhadap pertahanan Napoli, Kalidou Koulibaly.

Pada saingan Serie A semalam, Koulibaly yang juga pemain antarabangsa Senegal diejek dengan laungan monyet ketika Napoli mencatat kemenangan 2-0 ke atas Lazio.

Tindakan penyokong Lazio itu memaksa pengadil perlawanan, Massimiliano Irrati menghentikan permainan selama tiga minit pada pertengahan babak kedua perlawanan.

Ketika pemain kedua-dua pasukan mengerumuni Koulibaly sejurus insiden terbabit, pegawai rasmi Serie A bertindak pantas dengan berbincang mengenai bentuk hukuman terhadap Lazio.

Kelab yang berpangkalan di Rome itu dikenakan denda 50,000 euro (RM229,505) dengan keseluruhan kawasan tempat duduk Curva Nord (North End) di Stadium Olimpik ditutup bagi peminat untuk dua perlawanan liga.

Kenyataan daripada Serie A berkata: "Lazio didenda 50,000 euro dan akan bermain pada dua perlawanan selepas ini dengan kawasan tempat duduk di Curva Nord, Tevere Nord dan Monte Mario ditutup kepada peminat." - AFP

Berita Harian X