Khamis, 4 Februari 2016 | 8:33am

Higuain ledak lagi bantu Napoli kuatkan cengkaman

PENYERANG SSC Napoli, Gonzalo Higuain (kanan) bersaing dengan pemain Lazio, Wesley Hoedt pada aksi perlawanan Serie A, awal pagi tadi. Higuain menjaringkan satu gol untuk membantu Napoli menang 2-0. - Foto REUTERS
PENYERANG SSC Napoli, Gonzalo Higuain (kanan) bersaing dengan pemain Lazio, Wesley Hoedt pada aksi perlawanan Serie A, awal pagi tadi. Higuain menjaringkan satu gol untuk membantu Napoli menang 2-0. - Foto REUTERS

MILAN: Ejekan berbaur perkauman kedengaran di Stadium Olimpik ketika tuan rumah, Lazio tumbang 2-0 kepada Napoli pada kempen Serie A, awal pagi tadi.

Kemenangan itu menyaksikan laluan Napoli menjulang kejuaraan liga elit Itali terus berada di landasan tepat dengan gol pelawat dijaringkan Gonzalo Higuain dan Jose Callejon.

Ia adalah gol ke-23 Higuain dalam saingan Serie A musim ini dengan skuad bimbingan Maurizio Sarri itu kini memiliki kelebihan dua mata di puncak liga mengatasi penyandang juara, Juventus.

Perlawanan itu bagaimanapun terpaksa dihentikan tiga minit pada babak kedua atas arahan pegawai perlawanan kerana laungan dan ejekan berbaur perkauman yang disasarkan kepada pertahanan Napoli, Kalidou Koulibaly yang berasal dari Senegal.

"Saya lega mereka menghentikan perlawanan, ia adalah permulaan sesuatu yang memalukan," kata jurulatih Napoli, Maurizio Sarri yang turut menyaksikan anak buahnya merakam kemenangan ke tujuh berturut-turut musim ini.

Higuain ketika ini dalam usaha untuk memadamkan rekod jaringan Gunnar Nordahl dalam sejarah Serie A yang meledak 35 gol dalam semusim yang dilalukan pada 1950.

Lazio kini berkemungkinan dikenakan hukuman atas tindakan penyokongnya dengan skuad bimbingan Stefano Pioli itu kini jatuh ke tangga kesembilan liga.

Juventus dalam pada itu turut mencatat kemenangan 1-0 ke atas Genoa hasil jaringan sendiri Sebastian De Maio menerusi percubaan Juan Cuadrado.

Sekalipun kemenangan itu membolehkan mereka mencatat rekod baharu kelab dengan melakar 13 kemenangan berturut-turut, jurulatih Juve, Massimiliano Allegri tampak berang apabila pemainnya, Simone Zaza diarah keluar padang kerana dilayangkan kad merah.

"Zaza perlu belajar bertenang dan menggunakan otaknya apabila ingin melakukan terjahan seperti itu," kata Allegri kepada Sky Sport.

Inter Milan dalam pada itu kekal di tangga keempat liga selepas menewaskan Chievo 1-0 di San Siro dengan gol tunggal dijaringkan Mauro Icardi.

Penyerang baharu Fiorentina, Mauro Zarate yang dipikat dari kelab West Ham, minggu lalu turut menyinar apabila menjaringkan gol kemenangan 2-1 kelab itu ke atas Carpi.

Kemenangan menyaksikan kelab itu kekal di tangga ketiga liga, satu mata di depan Inter namun ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu, Napoli.

AC Milan juga melakar kemenangan berharga 2-0 ke atas Palermo. - AFP

Berita Harian X