Rabu, 27 Januari 2016 | 9:09am

Jin Wei mara undian utama badminton antarabangsa di India

JUARA remaja dunia, Goh Jin Wei.
JUARA remaja dunia, Goh Jin Wei.

KUALA LUMPUR: Juara remaja dunia, Goh Jin Wei, melepasi dua perlawanan kelayakan untuk mara ke undian utama Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi 2016 di Stadium Tertutup Babu Banarasi Das di Lucknow, India, semalam.

Pemain berusia 15 tahun itu menewaskan pemain tuan rumah, Riya Pillai 21-10, 21-6 pada pusingan kelayakan pertama perseorangan wanita sebelum mengalahkan rakan sepasukan Riya, Gadde Ruthvika Shivani 21-14, 24-22.

Menurut laman sesawang Persekutuan Badminton Dunia, www.bwfbadminton.org,

Jin Wei akan berdepan pemain Indonesia, Fitriani Fitriani pada perlawanan pembukaan, hari ini.

Bekas pemain negara, K Yogendran, yang bergandingan dengan Prajakta Sawant dari India dalam acara beregu campuran, juga menempah tempat ke undian utama selepas menumpaskan pasangan Perancis, Ronan Labar/Emilie Lefel.

Terdahulu, pasangan beregu itu menewaskan Singh Vinay Kumar/Mukherjee Riya dari India 21-16, 21-15 dalam aksi kelayakan pertama, sebelum menundukkan satu lagi beregu tuan rumah, Brijesh Yadav/Sraddha Tiwari 21-6, 21-16 pada perlawanan akhir pusingan kelayakan.

Sementara itu, empat pemain perseorangan lelaki Malaysia yang bakal beraksi pada kejohanan kelayakan Piala Thomas 2016, iaitu Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Hyderabad, India bulan depan, akan turun beraksi pada kejohanan di Lucknow itu, hari ini.

Mereka adalah naib juara kejohanan Masters Malaysia 2016, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Zulfadli Zulkiffli, Soong Joo Ven dan Soo Teck Zhi. - BERNAMA

Berita Harian X