Ahad, 20 Disember 2015 | 12:23am

Atlet bina badan jangan terjebak unsur negatif - KJ

MENTERI Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin merasmikan majlis penutupan Kejohanan Bina Badan Mr Borneo Keningau 2015, di Keningau, malam ini. - Foto BERNAMA
MENTERI Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin merasmikan majlis penutupan Kejohanan Bina Badan Mr Borneo Keningau 2015, di Keningau, malam ini. - Foto BERNAMA

KENINGAU: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, malam ini mengingatkan atlet bina badan negara supaya tidak terjebak dengan unsur negatif, termasuk pengambilan bahan terlarang.

Beliau berkata, selain mengekalkan bina badan sebagai sukan tanpa gejala negatif, mereka perlu memberi fokus kepada latihan bagi memastikan kemenangan dirangkul dengan rekod bersih.

"Kita (perlu) fokus dan memastikan kita menang dengan rekod bersih dalam sukan bina badan," katanya ketika berucap merasmikan majlis penutupan Kejohanan Bina Badan Mr Borneo Keningau 2015, di sini, malam ini.

Sebelum ini, media melaporkan seorang atlet bina badan gagal dalam ujian doping Agensi Antidoping Malaysia (ADAMAS) pada 1 September lalu sebelum kontinjen negara berangkat ke Tashkent, Uzbekistan bagi menyertai Kejohanan Asia Ke-49 bermula 29 September hingga 5 Oktober.

Dalam perkembangan berkaitan, Khairy berkata, bina badan akan menjadi antara sukan pada temasya Sukan SEA 2017.

Khairy berharap Malaysia akan meneruskan tradisi sebagai antara negara di Asia yang mampu melahirkan jaguh sekali gus bintang dalam arena sukan itu.

Mengenai Mr Borneo, beliau berkata, sukan itu mampu memberi inspirasi kepada belia untuk menjadi lebih cergas dan sihat sekali gus menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara sukan yang hebat.

Kejohanan kali kedua itu dianjurkan Pergerakan Pemuda UMNO Keningau dengan kerjasama Persatuan Bina Badan Sabah.

Seramai 50 peserta dari Sabah, Sarawak, Labuan Brunei dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyertai kejohanan itu, yang mempertandingkan kategori 60 kilogram (kg) ke bawah, 60 kg hingga 70 kg, 70 kg hingga 80 kg dan 80 kg ke atas.

Pada majlis sama, Khairy turut meluluskan pembinaan gelanggang futsal di Kompleks Sukan Keningau.- BERNAMA

Berita Harian X