Khamis, 10 Disember 2015 | 9:58pm

Persatuan hoki negeri terima peruntukan RM50,000

PRESIDEN Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal. - Foto Owee Ah Chun
PRESIDEN Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal. - Foto Owee Ah Chun

KUALA LUMPUR: Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) memperuntukkan sebanyak RM50,000 masing-masing kepada 14 persatuan hoki negeri, bagi penganjuran liga peringkat negeri bermula tahun depan.

Presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal, berkata peruntukan yang turut diberikan kepada Persatuan Hoki Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia itu adalah sebahagian daripada tajaan RM20 juta yang disalurkan Tenaga Nasional Berhad (TNB), baru-baru ini.

Beliau berkata, ahli lembaga eksekutif badan induk sukan hoki itu akan menyenaraikan kriteria yang perlu dipatuhi persatuan negeri untuk mendapatkan peruntukan berkenaan.

Katanya, kriteria itu akan dinilai Pengerusi Pertandingan KHM, George Koshy, yang juga timbalan presiden badan induk itu.

"Kalau diikutkan, hanya beberapa negeri saja yang menganjurkan liga peringkat negeri iaitu Kuala Lumpur, Johor, Perak, Selangor dan baru-baru ini, Melaka.

"Setiap persatuan perlu memenuhi kriteria seperti format pertandingan. Mereka perlu membentang kertas kerja mengenai kejohanan liga yang mahu diadakan di negeri masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama antara KHM dan ASTRO Arena, di sini, hari ini.

ASTRO Arena melabur kira-kira RM60 juta dalam KHM bagi tempoh lapan tahun bermula 2015-2023.

KHM juga mendapat RM18 juta daripada penajaan ASTRO Arena, yang akan digunakan untuk pembangunan hoki negara.

Baki tajaan merangkumi bayaran penyiaran serta kos produksi dan pemasaran.

Melalui penajaan itu juga, ASTRO Arena akan menyiarkan hampir setiap perlawanan hoki di Malaysia.

Dalam pada itu, Subahan yang baharu tujuh bulan memegang jawatan tertinggi badan induk sukan hoki negara berkata, hutang persatuan berjumlah RM2.9 juta kini berbaki RM650,000 sahaja. - BERNAMA

Berita Harian X