Selasa, 8 Disember 2015 | 9:45pm

Pemain boling negara gagal ke separuh akhir di UAE

KUALA LUMPUR: Pemain negara gagal melangkah ke separuh akhir acara perseorangan boling Kejohanan Wanita Dunia (WWC) di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Tiada seorang pun daripada enam pemain negara yang berada di kelompok empat terbaik untuk layak ke separuh akhir yang dijadualkan berlangsung esok.

Setiausaha Agung Kongres Tenpin Bowling Malaysia (MTBC), George Tan dalam kenyataannya berkata, pencapaian terbaik pemain negara di pusingan awal membabitkan enam permainan itu adalah muka baharu, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, yang menduduki tempat ke-10 selepas mencatat 1,327 jatuhan pin.

Ini diikuti pemain berpengalaman dan juara 2005, Esther Cheah, yang mengumpulkan 1,306 jatuhan pin untuk berada di tempat ke-14.

Natasha Roslan, yang turut membuat penampilan pertama di kejohanan itu berada di tempat ke-20 dengan 1,274 pin.

Pemain Malaysia yang lain ialah Sin Li Jane (1,245), Sharon Koh (1,206) dan Victoria Chin (1,141).

Dua pemain Korea Selatan, Jeon Eun-hee dan Hwang Yeon-ju menduduki dua tempat teratas, masing-masing dengan 1,457 pin dan 1,408 pin.

Mereka akan bersaing dengan dua wakil Singapura, Cherie Tan dan Shayna Ng, di peringkat separuh akhir selepas mencatat 1,395 pin dan 1,366 pin. - BERNAMA

Berita Harian X