Sabtu, 5 Disember 2015 | 6:48pm

Selangor lancar `satu penyokong satu bendera'

KUALA LUMPUR: Gabungan kelab penyokong pasukan Selangor melancarkan kempen 'Satu Penyokong Satu Bendera' sebagai satu usaha mewarnai Stadium Shah Alam dengan warna Merah Kuning, malam esok.

Antara kelab penyokong yang menyokong usaha ini adalah Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC), Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor (SSFC), Demi Selangor, 'Empire of Port Klang' dan Selangor Fanatik serta beberapa lagi kelab penyokong daerah yang akan turut sama hadir menyaksikan perlawanan ini.

Presiden ASFC, Mohd Faizal Wahid, berkata penyokong yang hadir digalakkan membawa bersama bendera Selangor untuk dikibarkan ketika perlawanan sedang berlangsung bagi membakar semangat pemain Selangor di atas padang.

"Seperti pergi berperang, bendera dikibar bagi meniup semangat perjuangan askar yang akan berjuang jadi kami menggunakan konsep sama untuk menyatakan sokongan padu kepada pemain.

"Jadi, diharap penyokong dapat mengibarkan bendera Selangor dengan penuh kebanggaan kerana itu ialah jati diri anak Selangor," katanya ketika dihubungi BH Online.

Mohd Faizal turut berharap kempen ini akan mendapat sambutan hangat daripada semua penyokong Selangor yang hadir bagi menyaksikan perlawanan esok.

"Kempen sebelum ini disambut hangat , jadi kami jangka sambutan lebih meriah akan diperolehi memandangkan penyokong menantikan aksi Selangor di separuh akhir.

"Semoga semua 50,000 penyokong yang bakal hadir akan dapat menyahut seruan ini untuk kita sama-sama menenggelamkan Stadium Shah Alam dengan 'Lautan Merah Kuning," katanya.

Berita Harian X