Sabtu, 5 Disember 2015 | 6:40pm

Spieth dahului golf Cabaran Dunia Hero

PENYANDANG juara dan pemain golf nombor satu dunia, Jordan Spieth. - Foto AFP
PENYANDANG juara dan pemain golf nombor satu dunia, Jordan Spieth. - Foto AFP

MIAMI: Penyandang juara dan pemain golf nombor satu dunia, Jordan Spieth melakukan catatan enam bawah par 66 untuk berkongsi kedudukan pendahulu pusingan kedua saingan Cabaran Dunia Hero pada Jumaat.

Pemain kelahiran Amerika Syarikat (AS) itu melakukan enam birdie, dua bogey dan eagle sekali gus menamatkan 36 lubang dengan catatan 11 bawah par 133 menyamai, catatan dua rakan senegara, Bill Haas dan Jimmy Walker.

Penyandang juara kejohanan Major Masters dan Terbuka AS itu beraksi dalam kejohanan jemputan disertai 18 pemain yang dihoskan legenda, Tiger Woods di sebuah resort di Albany, berdekatan Nassau, Bahamas.

Patrick Reed dan Chris Kirk masing-masing melakukan catatan terbaik pada pusingan kedua dengan 65 untuk berkongsi kedudukan keempat bersama Bubba Watson dengan 134 pukulan.

Pemain England, Paul Casey dan seorang lagi pemain AS, Zach Johnson dan Matt Kuchar berkongsi kedudukan ketujuh selepas melakukan 136.

"Majoriti dalam pusingan ini, sehingga (lubang) 15, kami memperoleh keadaan yang boleh mencipta pukulan," kata Spieth.

"Tiada angin, keadaan green juga terbuka. Permulaan yang buruk namun adalah hebat untuk kembali bangkit untuk melakukan tujuh bawah par selepas melakukan satu atas par sepanjang lima lubang."

Spieth melakukan birdie pada lubang kedua par tiga sebelum melakukan bogey pada lubang ketiga par lima dan lubang kelima par tiga.

Dia kemudian bangkit dengan melakukan tiga birdie berturut-turut bermula pada lubang keenam par lima, eagle pada lubang ke-11 par lima dan birdie berturut-turut pada lubang ke-13 dan 14. - AFP

Berita Harian X