Sabtu, 5 Disember 2015 | 1:56pm

Nicol mara separuh akhir Terbuka Hong Kong

DATUK Nicol David.
DATUK Nicol David.

KUALA LUMPUR: Laluan Datuk Nicol David untuk mengekalkan kejuaraannya buat kali ke-10 di Kejohanan Terbuka Hong Kong semakin hampir selepas beliau menewaskan Joelle King dari New Zealand dalam perlawanan suku akhir, semalam.

Pemain nombor tiga dunia itu mengambil masa 30 minit untuk menundukkan Joelle dengan straight set 11-6, 11-4 dan 11-3.

Dia akan bertemu Omneya Abdel Kawy pada perlawanan separuh akhir hari ini.

"Saya sungguh gembira dengan gaya permainan saya hari ini. Saya bersedia menghadapi cabaran dari Joelle dan saya tahu saya perlu berhabis-habisan kerana saya tidak boleh memberi ruang kepadanya.

"Saya menanti perlawanan separuh akhir esok. Saya tidak memikirkan rekod saya di sini, saya cuma menumpukan tentang apa yang perlu saya lakukan di gelanggang dan saya akan memberikan segalanya untuk melangkah ke final," kata Nicol di dalam laman sesawang kejohanan itu, https://psaworldtour.com/.

Omneya menempah tempat dalam empat terakhir selepas menewaskan pemain Perancis, Camille Serme straight set 11-9, 11-4, 11-6 sementara Raneem El Welily akan bertemu Laura Massaro dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Pemain nombor satu dunia, Raneem menewaskan pemain Amerika Syarikat Amanda Sobhy straight set 11-8, 11-5 dan 11-8, sementara Laura mengalahkan pemain Mesir Nouran Gohar dalam perlawanan sengit berkesudahan 11-5, 6-11, 11-8 dan 11-6.

-- BERNAMA

Berita Harian X