Jumaat, 4 Disember 2015 | 10:54pm

Badrul digelar 'orang terpantas Malaysia'

KETUA Menteri Melaka, Datuk Seri Ir Idris Harun menyampaikan insentif berjumlah RM3,000 dan Majlis Sukan Negeri (MSN) RM1,000 kepada pelari pecut negara, Badrul Hisyam Manap di Seri Negeri Ayer Keroh, hari ini. - Foto Khairunisah Lokman
KETUA Menteri Melaka, Datuk Seri Ir Idris Harun menyampaikan insentif berjumlah RM3,000 dan Majlis Sukan Negeri (MSN) RM1,000 kepada pelari pecut negara, Badrul Hisyam Manap di Seri Negeri Ayer Keroh, hari ini. - Foto Khairunisah Lokman

MELAKA: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ir Idris Harun menggelar pelari pecut negara, Badrul Hisyam Manap sebagai 'orang terpantas di Malaysia' selepas berjaya memecahkan rekod kebangsaan 100 meter (m) yang berusia 17 tahun di Brunei, baru baru ini.

Sebelum ini anak Melaka, Rabuan Pit juga pernah dikenali sebagai pelari terpantas Asia, sambil kali ini pelari yang sama daerah dengan legenda itu pula mencipta nama sebagai manusia terpantas Malaysia.

Idris bertemu Badrul bersama jurulatihnya, Mohd Foad Kassim dan Noraziah Kassim di pejabatnya di Seri Negeri Ayer Keroh, hari ini. Turut mengiringi Badrul ialah ibunya, Rozinah Baba dan kakaknya, Nur Atiqah.

Katanya, gelaran itu layak buat Badrul berikutan kejayaan mengatasi rekod Watson Nyambek sambil mengharapkan disiplin menjadi keutamaan buat pelari itu walaupun di mana sahaja dia berada.

Idris turut menyampaikan insentif berjumlah RM3,000 dan Majlis Sukan Negeri (MSN) RM1,000 di atas kejayaan itu sambil mengharapkan ia menjadi pembakar semangat buatnya untuk terus mengejar impian.

Katanya, kerajaan negeri akan mempertimbangkan cadangan pemberian insentif kepada dua lagi pelari muda negara dari Melaka, Asnawi Hashim dan Khairul Hafiz Jantan masing-masing berusia 17 tahun yang memperbaharui rekod kebangsaan dengan catatan 39.86 saat menerusi acara 4x100 meter di Brunei.

Pada acara gandingan itu, Badrul Hisyam dan dua pelari muda berkenaan bersama seorang lagi atlet, Mohd Haiqal Hanafi berjaya meraih emas dan menyamai rekod kuartet senior negara.

 

"Mereka berdua turut menjadi perhatian umum serta menjadi kebanggaan Melaka. Kami sebenarnya amat mengharapkan mereka juga akan lebih berjaya.

"Kejayaan mereka seharusnya menjadi contoh terbaik kepada semua atlet muda lain meraih pencapaian cemerlang dalam bidang yang diceburi," katanya.

Berita Harian X