Jumaat, 4 Disember 2015 | 7:45am

Jangan pisahkan Badrul dengan Poad

JURULATIH Badrul Hisyam Manap, Mohd Poad Md Kassim. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan
JURULATIH Badrul Hisyam Manap, Mohd Poad Md Kassim. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

KUALA LUMPUR: Jurulatih Badrul Hisyam Manap, Mohd Poad Md Kassim perlu dibawa bersama seandainya Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mahukan pemegang rekod kebangsaan acara 100 meter (m) itu berlatih di Kompleks Sukan Bukit Jalil.

Perkara itu disuarakan oleh bekas raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad yang menyifatkan jurulatih KOM yang ada ketika ini tidak mampu melahirkan atlet mempunyai larian sepantas Badrul iaitu 10.29 saat (s) atau catatan masa sekitar 10.05s dalam acara 100m.

"Saya rasa sekiranya KOM mahu Badrul berlatih di Bukit Jalil, jurulatihnya (Poad) perlu dibawa bersama.

"Jika dia berlatih di bawah jurulatih lain, saya bimbang ia akan menjejaskan rentak dan perkembangannya kerana Poad lebih mengetahui keupayaan anak buahnya itu.

"Lagipun, jurulatih yang dilantik KOM belum membuktikan mereka mampu melahirkan atlet sepantas Badrul," katanya semalam.

Beliau mengulas mengenai kejayaan dicipta pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) itu yang memecahkan rekod kebangsaan 100m milik Watson Nyambek selama 17 tahun pada Kejohanan Sukan Sekolah ASEAN di Bandar Sri Begawan, Brunei, baru-baru ini.

Dalam perkembangan sama, Nazmizan menyarankan kerajaan mewujudkan sebuah universiti sukan bagi melahirkan lebih ramai jaguh dunia di peringkat akar umbi selain menggesa agar ia diusulkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

"Kalau ada universiti sukan maka lebih ramai atlet boleh berlatih di situ, boleh diwujudkan pusat biomekanik (sains sukan yang mengkaji pergerakan manusia) bagi membuat kajian mengenai atlet selain dapat wujudkan peluang pekerjaan kepada semua jurulatih sukan yang ada," katanya.

Selain itu, Nazmizan juga mencadangkan agar SSTMI dijadikan sebagai sebuah pusat latihan yang mempunyai fungsi seakan Kompleks Sukan Bukit Jalil ketika ini bagi mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan atlet apabila wujudnya dua pusat yang mempunyai fasiliti sama.

Berita Harian X