Selasa, 24 November 2015 | 11:18pm

Najib ucap tahniah atas kejayaan Badrul Hisyam

LAMAN Twitter Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
LAMAN Twitter Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah atas kejayaan pelari pecut muda negara, Badrul Hisyam Abdul Manap yang berjaya memecahkan rekod kebangsaan 100 meter (m) yang bertahan selama 17 tahun.

"Tahniah kepada Badrul Hisyam Manap yang memenangi emas di Sukan Sekolah ASEAN dan memecah rekod kebangsaan 17 tahun acara 100m," kata Najib dalam catatan di laman Twitternya, hari ini.

Badrul Hisyam memenangi pingat emas itu di Brunei, semalam selepas mencipta rekod baharu 100m dengan catatan 10.29 saat, 0.01s lebih pantas daripada rekod lama milik Watson Nyambek yang dilakukan pada 1998.

Atlet dari Melaka berusia 18 tahun itu meneruskan penguasaannya dalam acara pecut apabila memecahkan rekod kejohanan miliknya sendiri 21.61s bagi acara 200m yang dilakukannya tahun lepas, dengan catatan 21.39s untuk mendapat pingat emas keduanya, hari ini.

Terdahulu, ketua jurulatih kebangsaan, Zainal Abbas berkata kejayaan Badrul Hisyam mencipta rekod itu mampu menjadi titik kebangkitan olahraga negara terutama dalam acara riben biru itu. - BERNAMA

Berita Harian X