Ahad, 22 November 2015 | 11:09pm

India juara hoki remaja Asia

PASUKAN India muncul juara selepas menundukkan Pakistan 6-2 dalam perlawanan akhir hoki Piala Remaja Asia 2015 di Kompleks Hoki Wisma Belia. - Foto Luqman Hakim Zubir
PASUKAN India muncul juara selepas menundukkan Pakistan 6-2 dalam perlawanan akhir hoki Piala Remaja Asia 2015 di Kompleks Hoki Wisma Belia. - Foto Luqman Hakim Zubir

KUANTAN: Trofi Piala Remaja Asia akhirnya kembali ke bumi India apabila pasukan gergasi Asia itu mudah menewaskan Pakistan 6-2 di pentas final edisi kelapan di Stadium Wisma Belia Kuantan, di sini sebentar tadi.

Kejayaan ini bertambah manis, apabila India yang pernah menjadi juara dua kali berturut-turut pada edisi 2008 di laman sendiri dan 2004 di Pakistan kini berjaya merampas kembali kejuaraan yang dimenangi Malaysia pada edisi 2008 di Melaka. Dalam aksi membabitkan dua musuh tradisi itu, India tidak menunggu lama untuk selesa mendahului 2-0 apabila Harmanpreet Singh mudah menolak masuk pukulan sudut penalti pada minit ke-9 dan ke-15.

Pakistan yang tersentak dengan jaringan itu, bagaimanapun terus buntu untuk menyelinap masuk ke kawasan D India walaupun mendapat sokongan padu kira-kira 150 penyokong fanatik mereka. Namun, skuad kendalian Tahir Zaman akhirnya memperoleh satu-satunya pukulan sudut pada babak pertama dan peluang itu dimanfaatkan sebaik mungkin Muhammad Yaqoob apabila menolak masuk bola pukulan muntah oleh Shan Irshad untuk menewaskan penjaga gol India, Vikas Dahiya.

Selang dua minit kemudian, India yang mendominasi sebahagian besar perlawanan kembali melebarkan jurang apabila Harmanpreet melengkapkan malam gemilangnya dengan jaringan hatrik menerusi penyudah pukulan sudut penalti. Bagaimamapun, tiga gol pada babak kedua oleh Armaan Qureshi pada minit ke-44, Manpreet Jnr (m-50) dan gol keempat Harmanpreet (m-53) mengesahkan kejuaraan buat India meskipun Pakistan membalas menerusi Muhammad Dilber dua minit sebelum perlawanan tamat.

INFO

ANUGERAH -

  • Pemain terbaik kejohanan: Shahril Saabah (MAS)
  • Penjaga gol terbaik: Vikas Dahiya (IND)
  • Pemain terbaik perlawanan akhir: Harjeet Singh (IND)
  • Fairplay: Jepun
Berita Harian X