Sabtu, 21 November 2015 | 8:04pm

Malaysia benam China 5-1 di Kuantan

PENYERANG hoki pasukan Malaysia, Shahril Zaabah (tengah) dirai rakan sepasukan selepas menjaringkan gol ketika menentang China pada kejohanan Piala Hoki Remaja Asia 2015 di Stadium Hoki Wisma Belia hari ini. - Foto BERNAMA
PENYERANG hoki pasukan Malaysia, Shahril Zaabah (tengah) dirai rakan sepasukan selepas menjaringkan gol ketika menentang China pada kejohanan Piala Hoki Remaja Asia 2015 di Stadium Hoki Wisma Belia hari ini. - Foto BERNAMA

KUANTAN: Skuad Malaysia berjaya menundukkan China 5-1 dalam perlawanan penentuan tempat kelima hingga kelapan pada Kejohanan Hoki Piala Remaja Asia 2015 di Stadium Hoki Kuantan, di sini, hari ini.

Pada perlawanan itu, Malaysia membuka tirai jaringan pada minit ke-44 menerusi jaringan padang oleh Shahril Saabah.

Pada minit ke-52, Shahril sekali lagi berjaya merobek gawang China menerusi gol padang.

Selang seminit, China merapatkan jurang gol menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh E. Wenlong menjadikan keputusan 2-1.

Pada minit ke-56, Malaysia meneruskan penguasaan dengan menjaringkan gol ketiga menerusi gol padang oleh Aiman Nik Rozemi.

Shahril Saabah menambah jaringan keempat buat Malaysia, sekali gus mencatatkan hatrik buat dirinya menerusi pukulan sudut penalti pada perlawanan itu pada minit ke-64.

Gol kelima dan terakhir buat Malaysia dijaringkan oleh Syed Syafiq Cholan pada minit ke-67 melalui pukulan sudut penalti.

Keputusan 5-1 yang berpihak kepada Malaysia kekal sehingga waktu perlawanan berakhir.

Dalam pada itu, Bangladesh berjaya membenam Oman 3-2 menerusi penentuan penalti.

Terdahulu, kedua-dua pasukan terikat dengan jaringan 2-2 dalam aksi penentuan tempat kelima hingga kelapan semalam.

Bangladesh membuka tirai jaringan menerusi Roman Sarkar di minit ke-31 menerusi pukulan sudut penalti.

Namun, Oman bangkit di minit ke-64 bagi menyamakan keputusan melalui Salmeen Al Nofali yang meledakkan gol menerusi pukulan sudut penalti.

Pada minit ke-67, gawang Bangladesh sekali lagi bolos setelah Shafi Al Shatari menyumbat gol padang.

Bangladesh yang enggan mengaku kalah bangkit untuk menyamakan kedudukan menerusi Milon Hossain di minit ke-70, menjadikan keputusan terikat 2-2. - BERNAMA

Berita Harian X