Jumaat, 20 November 2015 | 5:33pm

Kedudukan Arul selepas Piala Remaja Asia: Subahan

PRESIDEN Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal. - Foto BERNAMA
PRESIDEN Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Nasib skuad hoki remaja kebangsaan dan jurulatihnya A Arul Selvaraj akan dibincangkan selepas Kejohanan Piala Remaja Asia 2015 di Stadium Hoki Kuantan berakhir, Ahad ini.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal berkata pihaknya memandang serius kekalahan 4-1 menerusi penentuan penalti kepada Korea Selatan di suku akhir semalam.

"KHM sangat sedih dan kecewa dengan kekalahan semalam. Kejohanan masih berlangsung, jawatankuasa kejurulatihan dan jawatankuasa pasukan kebangsaan akan berbincang sebaik pertandingan berakhir bagi mengkaji apa yang sebenarnya berlaku.

"Kami akan menelitinya secara serius. Post-mortem pasti diadakan bukan sahaja ke atas jurulatih tetapi juga pemain.

"Kami mahu tahu kenapa pemain boleh menyerah begitu sahaja," katanya selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KHM dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sini hari.

Mengulas mengenai kelonggaran benteng pertahanan Malaysia yang membenarkan lawan menyamakan kedudukan ketika permainan berbaki dua minit selepas mendahului 3-1, Subahan berkata, keadaan seperti itu memang biasa terjadi namun ia tidak sepatutnya sentiasa berlaku.

Katanya, jika kesilapan seperti itu sering terjadi ketika perlawanan, itu bermakna ada sesuatu yang tidak kena terutamanya berkaitan kekuatan mental pemain.

"Ia cukup memalukan kerana kita gagal ke saingan seterusnya. Bukan pasukan kita tidak bagus, kita mempunyai banyak peluang. Cuma nasib tidak menyebelahi kita," katanya.

Susulan kekalahan itu, Malaysia gagal layak ke Piala Dunia Remaja 2016 di New Delhi, India, sekali gus tidak dapat mengulangi pencapaian skuad terdahulu yang muncul sebagai empat pasukan terbaik dunia pada 2013.

Ini adalah kali kedua skuad remaja negara gagal layak ke Piala Dunia Remaja selepas kali pertama pada 1997.

Dalam perkembangan lain, Subahan turut mengulas mengenai sikap penyerang kebangsaan Faizal Saari yang gagal melapor diri bersama skuad kebangsaan selepas disenaraikan sejurus Liga Hoki Malaysia berakhir pada September lalu.

Subahan berkata keputusan menggugurkan Faizal daripada skuad kebangsaan bukan dibuat oleh beliau tetapi tertakluk kepada peraturan yang telah ditetapkan KHM.

"Bukan sahaja Faizal, malah setiap pemain kena berubah sikap serta mentaliti mereka. Kita kena ada sikap mahu menang, dalam KHM tidak ada pemain yang digelar 'superstar'.

"Kami percaya kepada semangat berpasukan, jika anda mahu berjaya dan bermain dengan baik...pertama, anda perlu hormatkan jurulatih, kedua, hormat rakan sepasukan dan akhir sekali hormat KHM.

"Itulah kunci kejayaan, pemain perlu faham peraturan. Saya rasa kita sudah bersemuka dan melakukan proses yang seharusnya dengan Faizal. KHM juga sudah terima surat jawapan ke atas dua surat tunjuk sebab yang diberi kepadanya," katanya.

-- BERNAMA

Berita Harian X