Jumaat, 6 November 2015 | 4:30pm

Sabah, Azraai Khor 'bercerai'

gn4id:10419145

KOTA KINABALU: Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) mengumumkan Azraai Khor Abdullah bukan lagi ketua jurulatih Sang Badak, berkuat kuasa hari ini - kurang sebulan selepas dilantik sebagai pengendali skuad berkenaan. 

Perkara itu diumumkan oleh Timbalan Presiden 2 SAFA, Datuk Lawrence Gimbang, dalam satu kenyataan, di sini, hari ini. 

Dalam kenyataan itu, beliau berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas perbincangan dan persetujuan antara kedua-dua pihak. 

"SAFA dan Azraai telah mencapai persetujuan berkenaan hal ini dan pihak SAFA juga ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau.

"Pihak persatuan juga mengucapkan terima kasih kepada Azraai atas sumbangannya sepanjang menjadi jurulatih skuad Liga Perdana Sabah," katanya. 

Setakat ini, belum dapat dipastikan punca sebenar keputusan itu namun Azraai yang juga bekas jurulatih Kedah, Negeri Sembilan, Perak dan Kelantan, menerusi laman Facebook beliau sebentar tadi memuat naik status yang menimbulkan tanda tanya. 

Beliau memuat naik status 'Alhamdulillah.....berakhirnya mimpi ngeri di hari Jumaat yang indah.....'.  Azraai yang pernah membawa Kedah meraih tiga kejuaraan iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia pada tahun 2007 dan 2008, dilantik sebagai jurulatih Sang Badak berkuat kuasa pada 1 Oktober lalu. 

Jurulatih yang membimbing Negeri Sembilan menjulang Piala Malaysia pada tahun 2011 itu sebelum ini memulakan tugasnya selaku pengendali Sabah secara tidak rasmi sejak pertengahan September lalu, termasuk mengendalikan sesi latihan skuad utama bagi menghadapi saingan musim 2016.

Berita Harian X