Sabtu, 10 Oktober 2015 | 10:42pm

Goh kempunan di GP Belanda

KUALA LUMPUR: Impian pemain negara, Goh Sooh Huat melangkah ke final Kejohanan Badminton Grand Prix (GP) Emas Terbuka Belanda, di Topsportcentrum Almere Arena, Belanda, berakhir dalam masa 40 minit.

Pada aksi separuh akhir hari ini, Goh kalah 14-21, 15-21 kepada pilihan ketiga, Ajay Jayaram dari India dalam pertarungan 40 minit itu.

Kemenangan berkenaan membolehkan Ajay menentang pemain pilihan ke-12, Raul Must selepas pemain Estonia itu mengalahkan pilihan ke-15, Emil Holst dari Denmark 21-18, 17-21, 21-11 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Gandingan veteran negara, Koo Kien Kiat/Tan Boon Heong yang memburu gelaran ketiga musim ini dijadual berdepan beregu Taiwan, Lee Jhe-Huei/Yang Lee di separuh akhir beregu lelaki lewat malam ini.

Sebagai rekod, Koo/Tan yang kembali beraksi di pentas antarabangsa pada Mei, sudah memenangi dua kejuaraan musim ini iaitu Cabaran Antarabangsa Sri Lanka pada Jun dan Cabaran Antarabangsa Rusia pada Julai.

Malaysia tidak menghantar wakil dalam acara perseorangan dan beregu wanita serta beregu campuran pada kejohanan berkenaan yang menawarkan wang tunai keseluruhan berjumlah US$50,000 (RM206,800).

- BERNAMA

Berita Harian X