Sabtu, 10 Oktober 2015 | 7:03pm

`Orchid Fun Run and Ride' anjuran PETRONAS meriah

KUALA LUMPUR: Kehadiran lebih 3,000 peserta acara 'Orchid Fun Run and Ride' hari ini membuktikan warga kota menyambut baik sambutan Hari Sukan Negara di sini.

Program anjuran PETRONAS ini adalah satu daripada 17,000 acara sukan yang diadakan bersempena Hari Sukan Negara dan dianjurkan serentak di seluruh negara hari ini.

Tinjauan Bernama mendapati peserta yang menyertai program itu begitu teruja untuk memulakan larian dan kayuhan basikal sejauh 3.7 kilometer mengelilingi Taman KLCC seawal 7 pagi.

Rata-rata peserta bukan saja terdiri daripada kakitangan syarikat petroleum itu, malah turut mendapat penyertaan luar jangkaan daripada orang awam.

Seorang peserta larian, Mohd Nur Rizqi, 30, berkata contoh teladan Menteri Belia dan Sukan sendiri menyebabkan beliau terdorong untuk menjadi sebahagian daripada yang menjayakan acara.

"Kita boleh lihat betapa proaktifnya Khairy Jamaluddin dalam mempromosikan Hari Sukan Negara sendiri...inilah yang dikatakan 'walk the talk'," katanya kepada Bernama selepas menjayakan larian.

Seorang lagi peserta, P Satisveran, 30, berkata penyertaannya dalam program itu ibarat seperti 'panggilan semula' selepas bertahun tidak menyertai acara seumpamanya.

"Saya memang minat bersukan tetapi jadual harian yang padat membataskan namun selepas mendapat ajakan daripada teman untuk menyertai larian ini, saya jadi bersemangat semula," katanya.

Pelajar Institut Perguruan Bahasa Antarabangsa Razniza Maidin, 18, pula berkata walaupun kurang gemar bersukan namun beliau ikut serta kerana tertarik dengan promosi yang dijalankan.

"Saya datang bersama 17 rakan kampus yang lain dan kami semua seronok dan mula rasa bermotivasi untuk terus bersukan selepas ini," katanya.

Seorang lagi pelajar institut sama, Fakhira Aqilah Abd Rahim, 18, berpendapat ramai rakyat Malaysia yang mempunyai keinginan untuk mengamalkan gaya hidup sihat namun kurang motivasi diri.

"Acara begini bukan saja dapat memangkinkan semangat malah dapat melahirkan suasana bersukan yang lebih menyeronokkan kerana dilakukan beramai-ramai," katanya.

Khairy turut hadir memeriahkan acara itu. - BERNAMA

Berita Harian X