Sabtu, 10 Oktober 2015 | 12:47pm

Hari Sukan Negara bukan sekadar mencari bintang sukan - Khairy

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak (tiga dari kanan) melakukan simbolik perasmian Hari Sukan Negara Peringkat Kebangsaan 2015 di Padang Kawad, Universiti Teknologi Mara (UiTM), hari ini. Turut sama, Datin Seri Rosmah Mansor (dua dari kanan), Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (empat dari kiri), Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan negeri Selangor, Datuk Seri Noh Omar (tiga dari kiri) dan Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Prof Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar (dua dari kiri). - Foto BERNAMA

SHAH ALAM: Sambutan Hari Sukan Negara bukan sekadar mencari bintang sukan untuk masa hadapan tetapi untuk melahirkan rakyat Malaysia yang mengamalkan gaya hidup bersukan.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata hanya 40 peratus rakyat Malaysia terbabit dalam aktiviti kecergasan berbanding negara maju seperti Jepun dan United Kingdom yang sudah mencapai 70 peratus.

Katanya, sekiranya lebih ramai rakyat khusus golongan muda terbabit dalam sukan lebih mudah untuk mencari bintang pada masa hadapan.

"Saya sudah bosan melihat pasukan bola sepak kita kalah 10-0, ...saya sudah bosan kerana sudah sekian lama kita tidak menang pingat emas di Sukan Olimpik.

"Di manakah nak cari pengganti Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol David, Azizulhasni Awang dan Pandelela Rinong sekiranya rakyat tidak bersukan," katanya berucap di Padang Kawad Universiti Teknologi Mara (UiTM) sempena Hari Sukan Negara (HSN).

Hari Sukan Negara yang disertai kira-kira 20,000 orang, dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Khairy berkata, lebih 17,000 acara sukan diadakan secara serentak di seluruh negara yang telah ditetapkan pada Sabtu minggu kedua bulan Oktober setiap tahun.

"Kita jangka lebih empat juta rakyat Malaysia menyertai Hari Sukan Negara di seluruh negara hari ini," katanya.

Hari Sukan Negara diumumkan oleh Perdana Menteri pada 24 Mac lalu.

Najib dan Khairy turut menyertai para peserta dalam acara 'Fun Walk' sejauh dua kilometer. - BERNAMA

Berita Harian X