Jumaat, 2 Oktober 2015 | 5:57pm

2,000 peserta dari 45 negara sertai PDIT 2015

PENGERUSI Jawatankuasa Bertindak Pelancongan Negeri, Datuk Tun Hairudin Abu Bakar (lima dari kiri) bergambar bersama penganjur sempena majlis sidang media program Port Dickson International Triathlon (PDIT) 2015 di Avillion Admiral Cove, Port Dickson. - Foto Iqmal Haqim Rosman
PENGERUSI Jawatankuasa Bertindak Pelancongan Negeri, Datuk Tun Hairudin Abu Bakar (lima dari kiri) bergambar bersama penganjur sempena majlis sidang media program Port Dickson International Triathlon (PDIT) 2015 di Avillion Admiral Cove, Port Dickson. - Foto Iqmal Haqim Rosman

PORT DICKSON: Dua ribu peserta dari 45 negara termasuk Malaysia akan menyertai Triathlon Antarabangsa Port Dickson (PDIT) 2015 di Avillion Admiral Cove pada 10 dan 11 Oktober ini.

PDIT 2015 dianjurkan oleh Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS) dengan kerjasama Trisportz Event Management dan Avillion Admiral Cove.

Pengurus Besar LPNS, Baharudin Jali berkata selain Malaysia dan Singapura yang mencatat penyertaan teramai, antara negara lain yang menghantar peserta ialah United Kingdom, Indonesia, Australia, Filipina dan Amerika Syarikat.

"Sebanyak empat kategori dipertandingkan iaitu Sprint Triathlon iaitu berenang sejauh 750 meter, berbasikal 20 kilometer (km) dan berlari lima km, Olympic Distance Triathlon (berenang 1.5 km, larian pantai satu km, berbasikal 40 km dan berlari 10km) dan acara berganti-ganti kumpulan.

Triathlon Kanak-kanak pula terbahagi kepada tiga kategori iaitu sembilan tahun ke bawah berenang 150 m dan berbasikal empat km, 12 tahun ke bawah (berenang 300 m, berbasikal lapan km dan berlari 1.6 km), serta 15 tahun ke bawah (berenang 300 m, berbasikal lapan km dan berlari 1.6 km)," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Triathlon adalah sukan lasak yang memerlukan pesertanya untuk berenang, berbasikal dan berlari mengikut jarak yang ditetapkan.

Selain itu, katanya PDIT 2015 juga adalah platform para peserta dalam melakukan persiapan awal sebelum menyertai kejohanan antarabangsa lain yang lebih mencabar.

Katanya wang tunai berjumlah RM48,000 menanti setiap peserta yang menyertai PDIT 2015 kali ini.

"Pantai Port Dickson yang bersih dan mempunyai pelbagai infrastruktur yang lebih lengkap mampu menarik lebih ramai pelancong untuk menonton sukan ini yang juga acara tahunan di pantai Port Dickson, di samping penyertaan peserta dari dalam dan luar negara.

"Ini adalah selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri Sembilan dalam usaha memantapkan industri pelancongan di negeri yang menjadi salah faktor penyumbang kepada pembangunan ekonomi Negeri Sembilan," katanya.

Untuk maklumat lanjut berkenaan acara ini atau mereka yang ingin mendaftar sebagai peserta, diminta supaya melayari laman sesawang www.triathlonmalaysia.com atau emel kepada info@triathlonmalaysia.com.my. - BERNAMA

Berita Harian X