Sabtu, 26 September 2015 | 4:22pm

Bola sepak: Blatter, Platini disiasat polis Switzerland

SEPP Blatter dan Michel Platini. - Foto REUTERS
SEPP Blatter dan Michel Platini. - Foto REUTERS

ZURICH: Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Sepp Blatter kini terbabit dalam siasatan jenayah oleh pihak berkuasa Switzerland, tatkala pembanterasan rasuah bola sepak sudah mencapai peringkat kepimpinan tertinggi.

Pejabat Peguam Negara Switzerland memulakan prosiding ke atas Blatter atas kemungkinan terbabit jenayah kecuaian pengurusan dan penyalahgunaan wang milik badan induk bola sepak dunia itu.

Selain itu, mereka turut menggeledah pejabat pemimpin FIFA berkenaan dan merampas sejumlah data dari situ.

Pengumuman mengejutkan itu semalam hadir ketika FIFA baharu saja selesai mengadakan mesyuarat ekskutif selama dua hari.

Perkembangan itu juga sekali gus menandakan satu lagi kemelut membelenggu badan induk bola sepak dunia itu, selain Blatter, yang sebelum ini menjadi sasaran siasatan pihak berkuasa Swiss dan Amerika Syarikat atas dakwaan terbabit rasuah.

Blatter yang kini berusia 79 tahun dijadual melepaskan jawatannya pada Februari susulan siasatan rasuah ke atas FIFA, namun dengan perkembangan baharu itu yang membabitkan dirinya, ia mungkin menyaksikan Jawatankuasa Etika menggantungnya daripada terus menjalankan tugas.

Selain Blatter, pertuduhan baharu turut mengancam kedudukan Presiden Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), Michel Platini, yang suatu masa dulu adalah protege Blatter dan menjadi pilihan untuk menggantikannya sebagai Presiden FIFA.

Platini disoal siasat sebagai saksi pada Jumaat, mengenai `pembayaran tak setia' sebanyak 2 juta Swiss francs atau AS$2.04 (RM8.97 juta) membabitkan wang milik FIFA pada Februari 2011.

Peguam Negara Switzerland mendakwa wang itu diberikan kepada Platini atas khidmatnya sebagai penasihat bola sepak Blatter di FIFA sembilan tahun lalu iaitu antara 1999-2002. - AP

Berita Harian X