Selasa, 15 September 2015 | 8:32pm

Prasarana lancar 2 program sokong jayakan Hari Sukan Negara

KHAIRY Jamaluddin (kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad Datuk Azmi Abdul Aziz bergambar di hadapan bas Rapid KL memaparkan iklan sambutan hari Sukan Negara yang akan diadakan pada 10 Oktober 2015 selepas melancarkan My Rapid Challenge. - Foto Osman Adnan
KHAIRY Jamaluddin (kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad Datuk Azmi Abdul Aziz bergambar di hadapan bas Rapid KL memaparkan iklan sambutan hari Sukan Negara yang akan diadakan pada 10 Oktober 2015 selepas melancarkan My Rapid Challenge. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Bagi meningkatkan kesedaran terutama kepada warga Lembah Klang mengenai sambutan Hari Sukan Negara pada bulan depan, Prasarana Negara Berhad (Prasarana) tampil memberi sokongan dengan melancarkan program 'My Rapid Challenge' dan 'bus wrap' Rapid KL, di sini, hari ini.

Kedua-dua program itu dijayakan oleh syarikat berkenaan dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Majlis pelancarannya disempurnakan oleh Menteri, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, di Bangsar sebentar tadi.

Khairy yang ditemui selepas majlis itu merakamkan terima kasih kepada pengurusan Prasarana yang memberikan ruang kepada pihaknya untuk mempromosikan sambutan berkenaan.

"Perkara ini akan meningkatkan lagi kesedaran terutama di kalangan penduduk di Lembah Klang mengenai sambutan Hari Sukan Negara yang dijadual berlangsung pada 10 Oktober ini," katanya.

Bagi program 'bus wrap' Rapid KL, Prasarana meletakkan visual grafik Hari Sukan Negara ke atas sebuah bas dua tingkat dan 20 bas biasa yang dikendalikan Rapid KL.

Bagi program My Rapid Challage, sesiapa yang berjaya menamatkan cabaran empat jenis senaman di beberapa stesen pada waktu-waktu tertentu yang ditetapkan Prasarana, bakal mendapat nilai bagi pembelian tiket yang boleh digunakan bagi Rapid KL dan LRT.

"Ini adalah untuk menggalakkan bukan hanya penyertaan pada Hari Sukan Negara, malah untuk gaya hidup yang sihat serta penggunaan pengangkutan awam terutama di kawasan Lembah Klang," kata Khairy.

Mengulas keadaan jerebu yang melanda Malaysia ketika ini, Khairy berkata pihaknya tidak akan meneruskan sambutan itu andai kualiti udara semakin teruk namun optimis ia tidak akan berlaku.

"Kita akan pantau kualiti dan indeks kualiti udara. Jika jerebu bertambah teruk, kita tidak akan kompromi terhadap keselamatan dan kesihatan rakyat Malaysia.

"Sekiranya IPU itu lebih daripada 200 atau menghampiri 200, kita akan batal atau tangguhkan program," kata Khairy sambil turut menasihati segala program sukan di luar yang dijadualkan ketika ini ditangguhkan.

Berita Harian X