Isnin, 14 September 2015 | 4:57pm

Moto2: Kesilapan pemilihan tayar terus hantui Hafizh

PENUNGGANG Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah. - Foto BERNAMA
PENUNGGANG Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kesilapan strategi pemilihan tayar ketika perlumbaan terus menjadi penghalang buat penunggang Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah untuk mencipta kejutan di Grand Prix San Marino, semalam.

Bermula di petak keenam, kedudukan petak terbaiknya sepanjang musim ini, tidak banyak dapat dilakukan penunggang pasukan PETRONAS Raceline Malaysia itu yang memutuskan menggunakan tayar jenis lembut ketika perlumbaan yang menyaksikannya bergelut sepanjang perlumbaan.

Ironinya, tiada masalah yang berlaku sekalipun Hafizh mengharungi 33 pusingan pada sesi kelayakan di Litar Misano itu menggunakan tayar jenis sama.

Begitupun, tayar yang digunakan hanya bertahan beberapa pusingan ketika perlumbaan menyebabkan Hafizh kehilangan posisinya sekalipun terpaksa menamatkan saingan di kedudukan ke-18 - posisi terburuknya sepanjang musim ini.

"Saya dan pasukan memutuskan untuk menggunakan tayar yang sama seperti sebelum ini kerana tiada apa yang berlaku selepas 33 pusingan ketika sesi kelayakan," kata Hafizh.

"Jadi saya memutuskan untuk menggunakan tayar jenis lembut ketika perlumbaan kerana keadaan cuaca tidak begitu panas namun secara tiba-tiba, saya berdepan masalah jadi tiada banyak yang boleh saya lakukan.

"Saya sedar semua peminat di Malaysia mahukan yang terbaik daripada saya namun kadang kala kita perlu mengambil risiko dengan pemilihan tayar. Kami belajar daripada kesilapan dan ini juga adalah kunci kepada kejayaan selepas ini.

"Kami akan cuba lagi pada perlumbaan selepas ini di Aragon," katanya.

Daripada 13 pusingan perlumbaan musim ini, ini kali pertama Hafizh meraih petak di kedudukan 10 terbaik dengan pencapaian terbaik ketika perlumbaan adalah di tempat keenam di GP Amerika.

Dalam pada itu, seorang lagi pelumba Malaysia di Moto2, Azlan Shah Kamaruzaman yang beraksi bersama Honda Team Asia menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-13, kedudukan mata ketiganya sepanjang musim ini.

Hafizh ketika ini berada di kedudukan ke-18 keseluruhan selepas mengumpul 36 mata manakala Azlan di kedudukan ke-23 dengan mengumpul sembilan mata.

Berita Harian X