Selasa, 8 September 2015 | 9:05pm

Hoki: Pelantikan Van Huizen bakal suntik semangat skuad negara

KETUA Jurulatih Persatuan Hoki Malaysia, Stephen Van Huizen. - Foto Owee Ah Chun
KETUA Jurulatih Persatuan Hoki Malaysia, Stephen Van Huizen. - Foto Owee Ah Chun

JOHOR BAHARU: Pelantikan Stephen Van Huizen sebagai ketua jurulatih pasukan hoki kebangsaan semalam, bakal menyuntik semangat baru kepada skuad negara.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal berkata pemilihan bekas ketua pasukan skuad Olimpik Los Angeles 1984 itu dibuat berdasarkan pengalamannya yang luas dan sering membawa kejayaan kepada pasukan dibimbingnya sebelum ini.

"Proses pemilihan ini kami serahkan sepenuhnya kepada Terry Walsh (Pengarah Teknikal KHM) untuk menilai siapa yang paling layak.

"Kami optimis yang beliau (Van Huizen) adalah orang paling layak untuk menjadi ketua jurulatih dan kita berharap, ia akan membawa keputusan yang baik untuk pasukan negara," katanya kepada pemberita selepas satu taklimat mengenai kejohanan Piala Sultan Johor di sini hari ini.

Subahan berkata demikian ketika mengulas pelantikan Van Huizen semalam yang diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan KHM, Datuk Ow Soon Kooi.

Pelantikan Van Huizen, 57, yang berkuatkuasa 1 Oktober ini, menggantikan Tai Beng Hai yang gagal membawa skuad negara ke Sukan Olimpik Rio 2016 pada saingan Liga Hoki Dunia, Jun lepas.

Sementara itu, Subahan berkata Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Tahun Piala Sultan Johor 2015 yang bermula 11 Oktober ini adalah gelanggang bagi skuad kebangsaan bawah 21 tahun menunjukkan kemampuan mereka berdepan pasukan terbaik dunia.

"Kejohanan ini bukan percutian tetapi pentas untuk pasukan negara beraksi lebih baik lagi bagi menyiapkan diri menghadapi Piala Remaja Asia di Pahang."

Bagi Piala Sultan Johor pula, Malaysia akan menentang Australia, Great Britain, Argentina, India dan Pakistan dalam kejohanan secara liga sepusingan itu.

"Paling utama adalah memastikan kita berada di tahap terbaik ketika aksi di Pahang untuk memastikan kita layak ke Kejohanan Dunia Remaja," kata Subahan.

Skuad remaja negara yang juga juara bertahan pada saingan Piala Remaja Asia bermula 14 hingga 22 November depan di Pahang, akan memulakan kempen dalam Kumpulan A bersama-sama India, Jepun dan China. - BERNAMA

Berita Harian X