Rabu, 12 Ogos 2015 | 5:06pm

Badminton Dunia: Zulfadli terus cemerlang, mara ke pusingan ke-3

PEMAIN perseorangan profesional, Zulfadli Zulkifli beraksi ketika menentang Scott Evans dari Ireland pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Dunia di Stadium Istora Senayan, Jakarta. - Foto Goh Thean Howe
PEMAIN perseorangan profesional, Zulfadli Zulkifli beraksi ketika menentang Scott Evans dari Ireland pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Dunia di Stadium Istora Senayan, Jakarta. - Foto Goh Thean Howe

JAKARTA: Pemain perseorangan profesional, Zulfadli Zulkifli terus cemerlang apabila berjaya melangkah ke pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia, di sini, sebentar tadi.

Selepas mencipta kejutan menundukkan pilihan keenam dari Taiwan, Chou Tien Chen di pusingan pertama, kelmarin, bekas juara remaja dunia 2011 itu mengekalkan momentum prestasinya apabila menewaskan Scott Evans dari Ireland 21-16, 21-13 dalam aksi pusingan kedua di Stadium Istora Senayan.

Bagi pemain berusia 22 tahun itu, kejayaan melangkah ke pusingan 16 sudah dianggap pencapaian terbaik buat dirinya memandangkan ia penampilan pertamanya dalam Kejohanan Dunia.

"Alhamdulillah saya mencatat satu lagi kemenangan. Saya memang gembira sangat dengan kejayaan ini kerana melangkah ke pusingan 16 terbaik.

"Namun, saya tahu perjalanan saya masih panjang dan akan terus fokus bagi menghadapi perlawanan seterusnya," kata Zulfadli sejurus tamat perlawanan.

Di pusingan ketiga, esok dia akan bertemu pemain Hong Kong, Wei Nan yang mara selepas mencipta kejutan menewaskan pemain tuan rumah, Tommy Sugiarto.

Sementara itu, cabaran satu lagi pasangan negara, Lim Yin Loo-Lee Meng Yean berakhir apabila gagal meneruskan kemaraan ke pusingan 16 terbaik.

Mereka tunduk kepada pilihan kesembilan kejohanan dari Indonesia, Nitya Krishinda Maheswari-Greysia Poli 21-17, 13-21, 11-21.

INFO KEPUTUSAN (Hanya membabitkan wakil Malaysia)

PUSINGAN KEDUA

Perseorangan lelaki:

Zulfadli Zulkifli (MAS) mn Scot Evans (IRL) 21-16, 21-13

Beregu wanita:

Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho (MAS) mn Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva (BUL) 21-17, 21-14

Joyce Choong Wai Chi-Yap Chen Wen (MAS) kk Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi (JPN) 10-21, 9-21

Lim Yin Loo-Lee Meng Yean (MAS) kk Nitya Krishinda Maheswari-Greysia Poli (INA) 21-17, 13-21, 11-21

Berita Harian X