Isnin, 3 Ogos 2015 | 3:17pm

Presiden IOC puji layanan negara sepanjang persidangan badan induk itu di KL

PRESIDEN Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach. - Foto AFP
PRESIDEN Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach. - Foto AFP

KUALA LUMPUR: Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach memuji layanan baik Malaysia ketika menjadi tuan rumah Persidangan Ke-128 IOC, yang berakhir di sini, hari ini.

Bersempena persidangan dari 31 Julai hingga 3 Ogos itu, Malaysia juga menjadi hos mesyuarat Lembaga Eksekutif IOC dari 28 hingga 30 Julai.

"Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada tuan rumah, Malaysia, dan penganjurnya.

"Ucapan terima kasih kami pertamanya ditujukan kepada sukarelawan, yang menyambut kami setiap pagi dan kehadiran mereka sungguh menceriakan suasana.

"Antara mereka ialah bekas atlet Olimpik," kata Bach ketika menyampaikan ucapan

pada penutupan persidangan itu di sini hari ini.

Bach juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada Presiden Majlis Olimpik Malaysia (OCM), Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar atas dedikasi beliau hingga membolehkan persidangan itu berlangsung dengan penuh kejayaan.

Pada majlis itu juga, Bach menyampaikan Trofi Presiden IOC kepada Tunku Imran bagi menghargai sumbangan besar Malaysia sebagai tuan rumah persidangan itu. - BERNAMA

Berita Harian X