Rabu, 8 Julai 2015 | 4:33pm

Budapest kemuka bida jadi hos Olimpik 2024

BUDAPEST: Bandaraya Budapest dan Jawatankuasa Olimpik Hungary mengemukakan secara rasmi bidaan untuk menjadi tuan rumah temasya Sukan Olimpik Musim Panas 2024.

Datuk Bandar Budapest, Istvan Tarlos dan Presiden Majlis Olimpik Hungary, Zsolt Borkai dalam suratnya kepada Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach, berkata `pihaknya berhasrat untuk turut serta memohon dan membida proses' bagi Olimpik 2024.

Dalam surat itu, mereka menyatakan Hungary adalah negara tunggal belum menganjurkan temasya itu daripada 10 yang sudah berjaya berbuat demikian sebelum ini.

Mereka juga menyatakan sokongan terhadap usaha IOC untuk mengurangkan kos penganjur dan menyifatkan ia `memecahkan monopoli negara besar dan kaya' sebagai tuan rumah temasya.

Budapest menyertai Boston, Paris dan Hamburg yang sebelum ini sudah mengumumkan secara rasmi bidaan menjadi tuan rumah.

Tarikh akhir permohonan dan bidaan adalah pada 15 September ini. - AP

Berita Harian X