X
Rabu, 10 Jun 2015 | 2:04pm

Nicol terkandas ke final Terbuka Antarabangsa Alexandria

KUALA LUMPUR: Pemain wanita nombor satu dunia, Datuk Nicol David gagal meneruskan kemaraan ke final squasy Terbuka Antarabangsa Alexandria di Mesir, hari ini.

Dia tewas 2-3 kepada pemain tuan rumah, Omneya Abdel Kawy yang juga pilihan ketujuh kejohanan di peringkat separuh akhir.

Nicol yang juga pilihan pertama kejohanan itu, berjaya mempamerkan aksi cemerlang di awal perlawanan, apabila menang dua set pertama, 11-7 dan 11-7.

Bagaimanapun, pemain Mesir itu beraksi tenang di set seterusnya, sebelum menang dengan 11-8.

Nicol hilang rentak pada baki dua set seterusnya, dan sebaliknya menyaksikan Omneya terus mengutip mata kemenangan 11-1 dan 12-10. Perlawanan kedua-duanya berlangsung selama 65 minit.

"Saya boleh memberitahu anda betapa gembiranya saya. Saya hanya bertemu (Nicol) sekali, lama dulu, dan sejak itu dia selalu menewaskan saya. Saya gembira dengan corak permainan saya hari ini.

"Saya fikir bahawa saya benar-benar bermain dengan baik, "kata Omneya dalam laman web kejohanan itu, www.alexandriainternationalsquash.com.

Pada satu lagi aksi separuh akhir, Raneem El Welily yang juga pilihan kedua kejohanan, menewaskan Laura Massaro dari England 11-8, 8-11, 11-5, 8-11 dan 11-5 untuk sekali gus layak ke final. -BERNAMA.

Berita Harian X