Jumaat, 22 Mei 2015 | 7:38pm

FAM puas hati kawalan keselamatan final Piala FA

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) percaya penugasan lebih 2,000 anggota polis bagi mengawal keselamatan, ketenteraman dan lalu lintas semasa perlawanan final Piala FA membabitkan Kelantan dan Lions XII di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok dapat memastikan kelancaran saingan berprestij itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Afandi Hamzah, berkata pihaknya sudah melakukan segala-galanya termasuk menyediakan parkir dan laluan pintu masuk khas untuk ke stadium bagi menjamin keselamatan penyokong Lions XII.

"Difahamkan lebih 2,000 anggota polis akan ditugaskan dan pihak kami sudah mengambil langkah sepatutnya dan bagi kami, jumlah itu mencukupi.

"Bagi penyokong Lions XII, tempat letak kenderaan D dan E dikhaskan untuk mereka selain pintu masuk biru.

"Pihak polis sudah mengadakan taklimat khas mengenai perkara ini dan mereka sudah pun mengambil kira semua aspek yang ada, langkah yang perlu diambil serta memastikan larangan dipatuhi," katanya pada sidang media di Bukit Jalil, hari ini.

Afandi juga berkata, FAM akan mengekalkan sistem tiga lapisan di pintu masuk stadium dengan semua tiket akan diimbas bagi mengelak kes tiket palsu selain menghalang kehadiran barang yang tidak dibenarkan.

"Untuk perkara ini, saya rayu kepada semua penyokong yang akan hadir ke stadium untuk beri sokongan secara berhemah dengan sokongan yang benar-benar membakar semangat pasukan masing-masing," katanya sambil menambah tindakan lanjut boleh diambil kepada sesiapa yang didapati melanggar peraturan yang ditetapkan.

Untuk rekod, semua 80,000 tiket yang diperuntukkan bagi aksi final sudah habis dijual termasuk 3,000 untuk penyokong Lions XII.

Insiden keganasan tercetus selepas perlawanan separuh akhir kedua membabitkan Terengganu dan Lions XII di Stadium Sultan Mizan, Gong Badak minggu lalu yang menyebabkan kerugian ratusan ribu ringgit.

Berita Harian X