Ahad, 17 Mei 2015 | 12:05am

Nicol, Delia kecundang di separuh akhir skuasy Terbuka British 2015

KUALA LUMPUR: Hasrat untuk menyaksikan dua pemain skuasy negara, Datuk Nicol Ann David dan Delia Arnold beraksi di pentas final Kejohanan Terbuka British 2015 berakhir, malam tadi.

DATUK Nicol Ann David
DATUK Nicol Ann David

Perjalanan kedua-dua pemain utama skuasy negara itu terkandas di separuh akhir dengan Delia lebih awal tersingkir sebelum diikuti Nicol yang tewas kepada musuh tradisinya, Laura Massaro.

DELIA Arnold
DELIA Arnold

Pada aksi di Arena Airco, Hull, England itu, Nicol yang juga pemain skuasy nombor satu dunia tidak berjaya mengekang kebangkitan Massaro sekalipun menang dua set awal sebelum kalah 3-2 dalam pertarungan sengit berlangsung selama 77 minit itu.

Hadir selaku pilihan utama, Nicol memulakan saingan dengan langkah kanan apabila memenangi dua set pertama 11-4 dan 11-9 namun tewas tiga set berikutnya 11-9, 12-10 dan 11-8.

Ia turut menamatkan harapan Nicol untuk memburu gelaran Terbuka British keenam miliknya yang sebelum ini menjuarainya sebanyak lima kali iaitu pada 2005, 2006, 2008, 2012 dan 2014.

Dalam aksi lebih awal, Delia tumpas 11-3, 11-7 dan 11-6 kepada pemain Perancis, Camille Serme dalam satu lagi pertarungan separuh akhir.

Begitupun, ia pencapaian terbaik Delia yang terpaksa mengharungi pusingan kelayakan untuk ke undian utama kejohanan boleh dianggap cemerlang.

Antara pemain utama yang disingkirkan pemain berusia 29 tahun itu ialah pemain nombor tiga dunia dan pilihan kelima, Alison Waters selain pemain nombor dua dunia, dari Mesir, Raneem El Weleily.

Berita Harian X