Ahad, 19 April 2015 | 3:04pm
PENUNGGANG Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah.
PENUNGGANG Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah.

Moto2: Sakit belakang kembali hantui Hafizh

KUALA LUMPUR: Dihimpit isu teknikal pada hari pertama Grand Prix Argentina, Jumaat lepas, penunggang Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah mengakui turut bergelut dengan masalah kecederaan selepas mengadu mengalami sakit belakang pada sesi kelayakan, semalam.

Sekalipun mempamer peningkatan dengan mencatat masa ke-16 terbaik kelayakan, penunggang pasukan PETRONAS Raceline Malaysia itu selepas sesi terbabit mengakui kesakitan di bahagian belakang kembali menghantuinya.

"Terima kasih kepada pasukan untuk sesi kelayakan," kata Hafizh menerusi laman Instagram miliknya. "Ada lagi yang boleh kami lakukan esok (hari ini) dan berharap bahagian belakang saya menjadi semakin baik.

"Harap kami boleh melakukan magis sekali lagi dengan kesakitan itu," kata penunggang berusia 20 tahun itu.

Tahun lalu, Hafizh turut berdepan masalah sama di GP Jepun namun berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan kelapan.

Pada sesi ujian pertama di GP Argentina, Hafizh berdepan masalah pengendalian sehingga gagal mencatat masa terbaik dan sesi kedua juga seakan tidak memihak bekas pelumba Kejuaraan CEV Sepanyol itu apabila promoter perlumbaan dikatakan memberikan tayar yang rosak kepada pasukannya sehingga mengakibatkan banyak masa dibazirkan.

Begitupun, pada sesi ujian bebas ketiga, semalam Hafizh melakukan masa ke-17 terpantas sebelum memperbaiki catatan masa pada sesi kelayakan untuk memulakan perlumbaan di petak ke-16.

"Saya perlu mendapat permulaan yang baik sekali lagi untuk menyaingi kepantasan pelumba-pelumba terbaik dan mencipta jurang pada awal perlumbaan," kata Hafizh mengulas rancangannya pada perlumbaan hari ini.

Catatan 1 minit 43.874 saat yang dilakukan pada sesi kelayakan kurang 1.065 saat di belakang Johann Zarco (Ajo Motorsport) yang melakukan masa terpantas 1'42.809s dengan penyandang juara, Tito Rabat kembali menampil peningkatan dengan mengungguli petak kedua.

Pelumba Switzerland, Thomas Luthi melengkapkan barisan depan GP Argentina.

Pada GP Amerika, minggu lepas, Hafizh berjaya mencatat keputusan terbaiknya dalam kategori Moto2 selaku pelumba yang beraksi semusim penuh dengan menamatkan perlumbaan di kedudukan keenam.

Keputusan terbaik Hafizh ialah menamatkan perlumbaan Moto2 di kedudukan ketiga pada 2013 namun hadir selaku pelumba wildcard di GP Malaysia.

Berita Harian X