Khamis, 16 April 2015 | 11:56pm

Boling: Rafiq, Nora Lyana raih emas Terbuka Antarabangsa Thailand

KUALA LUMPUR: Dua bintang muda negara, Muhd Rafiq Ismail dan Nora Lyana Nastasia Norkamal mencetus ceria apabila masing-masing gah memenangi pingat emas di Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Thailand 2015 di Bangkok, malam ini.

Dalam final step-ladder lelaki menyaksikan penyudahan satu dua pemain negara antara Rafiq dan Muhd Nur Aiman Khairuddin dengan Rafiq yang lebih hebat menewaskan lawan 185-197, 256-216 untuk gelaran pertama dalam Terbuka Thailand.

Gangsa dimenangi pemain Macau, Lee Tak Man dengan 206 jatuhan pin. Ia adalah kemenangan ke-10 daripada jumlah 11 acara untuk Rafiq dalam empat kejohanan musim ini.

Sementara itu, bintang baharu, Nora Lyana meraih emas dalam final step-ladder wanita - juga dalam penampilan sulung di kejohanan ini.

Pemain berusia 18 tahun yang diletakkan sebagai pilihan utama melakukan 247 jatuhan pin untuk mengungguli acara berkenaan dengan perak menjadi milik rakan senegara, Esther Cheah dengan 214 jatuhan pin manakala tempat ketiga, Tannya Roumimper dari Indonesia.

Keringat kejayaan menyaksikan Rafiq - pemenang empat emas di Kejohanan Tenpin Remaja Asia - membawa pulang hadiah 300,000 Thai baht (RM33,802) manakala Nora 100,000 Thai baht (RM11,267) atas usaha kali ini.

Ketika dihubungi, Nora berkata pada mulanya dia sedikit gementar kerana pertama kali bergerak ke kejohanan bersama pasukan senior, namun perkara itu tidak melemahkan semangatnya.

"Walaupun saya yakin untuk ke sini (Thailand), tetapi gementar dan saya berjaya meraih emas untuk negara," katanya ketika dihubungi menerusi laman facebook, di sini, malam ini.

Berita Harian X