Ahad, 29 March 2015 | 6:53pm

Boling: Muhammad Rafiq sumbang emas ke-4 Malaysia

KUALA LUMPUR: Pemain elit negara, Muhammad Rafiq Ismail menyumbang pingat emas keempat untuk Malaysia pada Kejohanan Boling Remaja Asia ke-18 di Macau, hari ini.

Walaupun gagal membantu pasukan remaja lelaki negara untuk meraih emas acara berpasukan, pemain berusia 18 tahun itu berjaya meraih emas untuk acara keseluruhan (All-Events).

Terdahulu, beliau meraih emas dalam acara perseorangan dan beregu lelaki dan satu lagi emas dimenangi Nora Lyana Natasia Norkamal dalam acara perseorangan remaja perempuan.

Beliau berjaya mengumpul 4,443 jatuhan pin selepas tiga acara iaitu perseorangan, beregu dan berpasukan.

Pingat perak dan gangsa menjadi milik Enzo Hernandez (Filipina) dan Javier Tan (Singapura) selepas masing-masing mengumpul 4,165 dan 4,142 pin.

Kejayaan itu sekali gus melayakkan Muhammad Rafiq menyertai acara Masters selepas ini, di mana 16 pemain terbaik dalam acara keseluruhan layak bermain, esok.

Selain Muhammad Rafiq, turut layak ke peringkat Masters ialah Qalif Adnor Adam yang menamatkan saingan di tempat ketujuh dengan 3,947 pin.

Dalam acara berpasukan, Malaysia tidak dapat mengekalkan rentak selepas mendahului blok pertama semalam dan hanya mampu meraih gangsa dengan 5,163 pin.

Pingat emas dan perak masing-masing menjadi milik pasukan Singapura (5,289) dan Korea Selatan (5,164).

Sementara itu, skuad wanita negara berjaya meraih dua perak menerusi gandingan Natasha Roslan, Nur Amirah Auni Azman, Nor Syazwani Sahar dan Nora Lyana Natasia Norkamal yang mengumpul 4,876 jatuhan pin dengan mengekori 87 pin di belakang pemenang emas, Korea Selatan, 4,963 pin.

Pingat gangsa menjadi milik Singapura yang mengumpul 4,859 pin.

Pingat perak kedua Malaysia diperoleh menerusi Nora Lyana Natasia dalam acara keseluruhan (All-Events) selepas mendapat 3,884 pin menamatkan saingan dalam tiga acara - perseorangan, beregu dan berpasukan.

Acara itu dimenangi Byun Sun Min dari Korea Selatan (3,920 pin) manakala gangsa menjadi milik Alisha Nabila dari Indonesia.

Sementara itu, Nora Lyana Natasia bersama-sama Natasha Roslan dan Nur Amirah Auni berjaya menempah tempat dalam acara Masters selepas berada dalam kelompok 16 pemain terbaik acara keseluruhan. - BERNAMA

Berita Harian X