Sabtu, 28 March 2015 | 7:34pm

GP Malaysia: Lewis Hamilton rangkul petak utama

SEPANG: Keadaan basah di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akibat hujan lebat ketika sesi kelayakan Formula Satu (F1) Grand Prix Malaysia tidak menghalang pelumba Mercedes AMG PETRONAS, Lewis Hamilton merangkul petak utama keduanya musim ini.

Begitupun, cubaan Mercedes untuk meneruskan dominasi di Australia gagal apabila petak kedua berjaya dirampas pelumba Ferrari, Sebastian Vettel yang membuat kejutan ketika sesi kelayakan tiga hampir berakhir.

Selepas mencatat masa terpantas sesi pertama dan kedua, Hamilton membuktikan dirinya tidak terganggu dengan keadaan litar basah dan mencatat masa terpantas 1 minit 49.834 saat.

Vettel yang akan memulakan perlumbaan esok di petak kedua mencatat masa 1:49.908s.

Rakan sepasukan Hamilton, Nico Rosberg terpaksa berpuas hati di petak ketiga selepas mencatatkan masa 1:50.299s.

Turut mengejutkan ialah keputusan yang dicatat rakan sepasukan Vettel, Kimi Raikkonen apabila gagal menempatkan diri di sesi kelayakan tiga untuk memulakan perlumbaan di petak ke-11.

Dua pelumba Red Bull, Daniel Ricciardo dan Daniil Kvyat pula mempamerkan peningkatan apabila melakukan masa keempat dan kelima terpantas.

Turut mengejutkan dua ialah pelumba Toro Rosso, Max Verstappen yang akan memulakan perlumbaan di petak keenam mengatasi pasukan Williams dan Sauber yang tampak lebih yakin pada sesi latihan sebelum ini.

Pelumba Williams, Felipe Massa mencatat masa ketujuh terpantas diikuti pelumba Lotus, Romain Grosjean (petak lapan), Valtteri Bottas (Williams) sembilan dan pelumba Sauber, Marcus Ericsson terakhir di sesi kelayakan ketiga.

Ketika kesemua 15 pelumba terbaik sesi kelayakan satu berada di atas litar, hujan lebat yang diramalkan sebelum ini turun memaksa sesi kelayakan dihentikan kira-kira 30 minit.

Perlumbaan F1 GP Malaysia esok bermula pada jam 3 petang.

Berita Harian X