Jumaat, 27 March 2015 | 9:59pm

Natasha-Nora raih perak boling Remaja Asia

KUALA LUMPUR: Gandingan Natasha Roslan dan Nora Lyana Natasia Norkamal berjaya meraih pingat perak dalam acara beregu perempuan pada Kejohanan Boling Remaja Asia ABF ke-18 di Macau, Jumaat.

Natasha dan Nora Lyana Natasia bagaimanapun tidak dapat menyamai kejayaan gandingan Muhammad Rafiq dan Qalif Adnor Adam yang memenangi emas ketiga Malaysia dalam acara beregu lelaki, Khamis.

Menurut keputusan kejohanan dalam laman web rasmi Persekutuan Boling Asia (ABF), www.abf-online.org, acara itu dimenangi gandingan Nadia Pramanik dan Alisha Nabila dari Indonesia dengan mengumpul 2,582 jatuhan pin berbanding gandingan Malaysia yang mengumpul 2,541 pin.

Pingat gangsa dimenangi Katey Furze dan Emily Rigney dari Australia dengan 2,512 pin.

Walaupun meraih perak, Nora Lyana Natasia kini mendahului peserta lain dalam acara keseluruhan (all-events) selepas mengumpul 2,646 pin selepas dua acara - perseorangan dan beregu.

Sementara satu lagi gandingan Malaysia, Nur Syazwani Sahar dan Nur Amirah Auni Azman menamatkan saingan di tempat ketujuh dengan 2,422 pin.

Esok, peserta negara akan meneruskan saingan dengan blok pertama (tiga permainan) untuk kategori berpasukan. - BERNAMA

Berita Harian X