Sabtu, 14 March 2015 | 11:28pm

Rafiq, Sharon gah juarai boling kebangsaan

PEMAIN Boling Kebangsaan, Muhd. Rafiq Ismail (kanan) kategori lelaki bersama Sharon Koh bagi kategori wanita muncul juara pada perlawanan akhir Kejohanan Tenpin Boling Kebangsaan ke-39, di Sunway Pyramid. - Foto Hasriyasyah Sabudin
PEMAIN Boling Kebangsaan, Muhd. Rafiq Ismail (kanan) kategori lelaki bersama Sharon Koh bagi kategori wanita muncul juara pada perlawanan akhir Kejohanan Tenpin Boling Kebangsaan ke-39, di Sunway Pyramid. - Foto Hasriyasyah Sabudin

PETALING JAYA: Pemain elit negara mempamerkan dominasi pada saingan 'step-ladder' Kejohanan Boling Kebangsaan ke-39 di Sunway Mega Lanes, Bandar Sunway di sini, malam ini.

Dalam kategori lelaki, Muhd Rafiq Ismail ditentang sengit rakan sepasukan, Timmy Tan selepas terpaksa bermain dalam dua set sebelum dinobatkan sebagai juara kategori lelaki.

Perlawanan pertama menyaksikan Muhd Rafiq tewas 203-216 kepada Timmy dan pada perlawanan penentuan dia mengatasi lawan, 217-203.

"Kejayaan ini adalah permulaan yang baik untuk saya selepas baru secara aktif menjalani latihan selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Ia satu permulaan yang baik untuk saya tahun ini," kata Muhd Rafiq.

Dia kembali menjalani latihan secara intensif selepas pulih daripada kecederaan retak tulang lengan kiri tahun lalu.

Muhd Rafiq, 18, terdahulu layak secara automatik ke final dan menjadi pemain pilihan pertama acara 'step-ladder' selepas muncul peserta terbaik dalam Terbuka Masters dengan mengumpul 2,234 jatuhan pin.

Kategori wanita pula menyaksikan Sharon Koh berjaya membuktikan bahawa dia kembali memperoleh rentak untuk bermain dengan baik selepas prestasi hambar dalam dua tahun kebelakangan ini.

"Ia satu pendorong semangat saya untuk terus mempertingkatkan prestasi dalam menghadapi lain-lain kejohanan selepas ini," katanya.

Kejuaraan ini adalah yang ketiga buat dirinya selepas kali terakhir menang pada 2006 dan 2008.

Pada perlawanan step-ladder akhir, dia menghasilkan enam 'strike' berturut-turut pada awal saingan untuk mengetepikan saingan seorang lagi pemain elit, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dengan 233-216.

Siti Safiyah terdahulu menewaskan penyandang juara, Sin Li Jane 223-205 pada saingan separuh akhir untuk meneruskan saingan di peringkat akhir. - BERNAMA

Berita Harian X