Khamis, 5 March 2015 | 9:25pm

Moto2: Yuzy restu, sentiasa doa kejayaan Zaqhwan

Mohd Zaqhwan Zaidi. - Foto BERNAMA
Mohd Zaqhwan Zaidi. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Bekas pelumba MotoGP Malaysia, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini akan terus menganggap anak didiknya, Mohd Zaqhwan Zaidi sebagai 'sebahagian daripada keluarga' pasukan Yuzy Racing dan sentiasa menyokongnya.

Hubungan kedua-duanya tampak sedikit dingin ketika Zaqhwan membuat keputusan untuk beraksi sepenuh musim di Kejuaraan Dunia (MotoGP) dalam kelas Moto2 tahun ini bersama pasukan baharu, JPMoto - sesuatu di luar perancangan yang direncana Yuzy.

Ia tampak ketara kerana dalam setiap majlis dijalankan JPMoto termasuk ketika sesi ujian pra-musim di Sepang dan pelancaran pasukan itu, minggu ini, kelibat Yuzy tidak kelihatan.

Begitupun, ketika ditemui pada sesi pelancaran musim baharu perlumbaan Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS AAM, hari ini, Yuzy mengakui hubungannya dengan Zaqhwan baik dan masih berhubung antara satu sama lain.

"Saya sudah menganggap Zaqhwan seperti anak saya sendiri jadi sekalipun kami tidak lagi bersama dalam satu pasukan, kami akan masih terus berhubung antara satu sama lain.

"Kami masih berjumpa dan berhubung menggunakan Whatsapp. Dia juga masih mengadu kepada saya mengenai masalah jenteranya dan saya sentiasa memberitahu apa yang perlu dia buat.

"Alhamdulillah, selepas dua sesi ujian, ada peningkatan yang sudah ditunjukkan."

Ketika majlis pelancaran Cub Prix juga, penganjur Safe Aim Mutual turut membuat satu rakaman video Zaqhwan yang memberi kata-kata semangat kepada rakan-rakan seperjuangan di Cub Prix selain kepada mentornya, Yuzy.

Yuzy dalam pada itu mengakui terharu dengan apa diluahkan anak didiknya itu sejak enam tahun lalu dalam video itu.

"Bagi kami, kehilangan dia sesuatu yang besar buat pasukan. Dia sudah bersama kami sejak berusia 14 tahun jadi ketiadaannya dalam pasukan pasti akan terasa."

Tahun lalu, Zaqhwan menjuarai tiga gelaran besar iaitu menjuarai kelas elit CP130 Cub Prix, perlumbaan Malaysia Super Series, 1000cc dan Kejuaraan Motosikal Asia dalam kelas SuperSports 600cc.

"Saya dan pasukan akan sentiasa mendoakan kejayaannya," katanya yang mengakui sudah merencana perancangan terbaik untuk Zaqhwan tahun ini namun tidak berjalan seperti dirancang.

Mengenai ketidakpuasan hatinya, Yuzy menganggap ia sudah selesai dan tidak memanjang isu itu.

Selain Zaqhwan, negara turut memiliki dua lagi wakil dalam kelas Moto2 iaitu Hafizh Syahrin Abdullah yang menunggang bersama pasukan PETRONAS Raceline Malaysia dan Azlan Shah Kamaruzaman (Idemitsu Honda Asia).

Berita Harian X