Rabu, 4 March 2015 | 7:14pm

Skuasy: Nicol temu Raneem final kejuaraan Terbuka Windy City

KUALA LUMPUR: Ratu skuasy Malaysia, Datuk Nicol Ann David mara ke perlawanan akhir pertama pada Kejohanan Terbuka Windy City selepas mematahkan cabaran hebat daripada pemain Mesir, Nour El Tayeb dalam perlawanan separuh akhir.

Menurut laman sesawang skuasy, www.squashsite.co.uk, pemain nombor satu dunia itu mencatat keputusan 11-9, 13-11, 12-10 pada perlawanan sengit separuh akhir selama 52 minit di Chicago, Selasa.

"Saya hanya tumpu pada permainan dan berhempas pulas untuk menghalangnya memungut mata pada setiap penghujung permainan," kata Nicol seperti dipetik laman sesawang itu.

Juara dunia lapan kali itu mencatat kemenangan mudah pada set pertama dengan mata 11-9.

Pada set kedua, Nour kembali tangkas dan mendahului permainan pada suatu peringkat sebelum Nicol memintasnya untuk mendahului 10-8 dan seterusnya menamatkan permainan dengan kemenangan 13-11.

Pada set ketiga, Nour - pemain nombor tujuh dunia - mendahului permainan dengan 10-8 tetapi tidak dapat mengekalkan rentak kemenangan apabila Nicol menambah empat mata lagi untuk menamatkan permainan dengan keputusan 12-10.

Nicol akan bertemu pemain nombor dua dunia, Raneem El Welily dari Mesir, pada perlawanan akhir yang akan berlangsung pada 6 petang waktu tempatan (8 pagi waktu Malaysia, Khamis).

Raneem layak ke perlawanan akhir selepas mengalahkan pemain Perancis, Camille Serme 11-8, 8-11, 8-11, 11-9, 11-3 dalam masa 58 minit.

Ini kali kedua Nicol dan Raneem bertemu pada perlawanan akhir tahun ini selepas Cleveland Classic pada 3 Februari lalu di mana Nicol meraih kemenangan pertama untuk tahun ini. - BERNAMA

Berita Harian X