Jumaat, 27 Februari 2015 | 5:52pm
JAGUH skuasy negara yang juga pemain nombor satu dunia, Datuk Nicol David.
JAGUH skuasy negara yang juga pemain nombor satu dunia, Datuk Nicol David.

Nicol lepasi halangan pertama di Terbuka Windy City

KUALA LUMPUR: Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David tidak berdepan masalah untuk melangkah ke pusingan kedua Kejohanan Skuasy Terbuka Windy City di Chicago, Amerika Syarikat.

Pemain nombor satu dunia itu, yang membuat penampilan sulung pada kejohanan terbabit, semalam hanya mengambil masa 30 minit menewaskan pemain wildcard tuan rumah, Olivia Blatchford 11-3, 11-6 dan 12-10.

Pemain kelahiran Pulau Pinang berusia 31 tahun itu akan berdepan pemain dari Mesir, Heba El Torky pada pusingan kedua.

Heba menumpaskan pemain India, Dipika Pallikal 11-9, 11-9, 5-11 dan 11-6 pada perlawanan yang berlangsung selama 43 minit.

Sementara itu, dua lagi pemain wanita negara, Low Wee Wern dan Delia Arnold akan beraksi pada perlawanan masing-masing lewat Jumaat.

Pemain nombor lapan dunia, Wee Wern, akan bertemu Habiba Mohamed dari Mesir pada 2 petang (4 pagi, Sabtu waktu Malaysia), manakala Delia akan menentang juara bertahan, Laura Massaro dari England pada 5 petang waktu tempatan (7 pagi, Sabtu waktu Malaysia). - Bernama

Berita Harian X