Selasa, 24 Februari 2015 | 3:08pm

Badminton: 'Angkatan kecil' jadi pertaruhan di Seluruh England

KUALA LUMPUR: Buat julung kali Persatuan Badminton Malaysia (BAM) difahamkan akan menghantar skuad paling kecil untuk menyahut cabaran Seluruh England yang bermula pada 3 hingga 8 Mac ini.

Tambah perit, badan induk itu tidak akan membariskan pemain perseorangan lelaki juga buat pertama kali dalam kejohanan prestij yang menjadi antara keutamaan negara setiap tahun.

Kecederaan yang menimpa Chong Wei Feng bererti tiada wakil daripada badan induk itu ke Birmingham untuk tempoh lebih empat dekad.

Difahamkan, acara perseorangan kali ini cuma membabitkan dua pemain dari luar BAM, iaitu Zulfadli Zulkiffli dan Mohd Arif Abdul Latif. Namun, mereka terlebih dulu harus melepasi peringkat kelayakan andai mahu ke undian utama edisi kali ini.

Pemain lain yang menjadi pertaruhan adalah beregu lelaki, Tan Wee Kiong-Goh V Shem; beregu wanita, Woon Khe Wei-Vivian Hoo, Lim Yin Loo-Lee Meng Yean dan beregu campuran, Tan Aik Quan-Lai Pei Jing.

Wei Feng, 27, belum lagi pulih daripada kecederaan kaki ketika beraksi dalam Grand Prix Emas Terbuka Malaysia di Kuching, bulan lalu.

Pemain berasal dari Kedah itu difahamkan mengalih fokus kepada Terbuka Malaysia-Maybank pada 31 Mac sehingga 5 April dan Terbuka Singapura (8-13 April).

Berita Harian X