KUALA LUMPUR: Skuad boling negara akhirnya berjaya meraih pingat emas pertama pada Kejohanan Tenpin Boling Asia ke-23 di Major Cineplex Ratchayothin, Bangkok, hari ini.
Menurut laman web rasmi Persekutuan Boling Asia (ABF) www.abf-online.org, pingat emas pertama itu diperoleh menerusi gandingan Sin Li Jane dan Syaidatul Afifah yang mengumpul 2,773 jatuhan pin.
Mereka berjaya mengalahkan dua gandingan dari Korea Selatan, Jung Da Wun-Lee Young Seung (2,633 pin) serta Jeon Eun Hee-Son Yun Hee (2,583 pin).
Kejayaan itu membolehkan Li Jane mendahului peserta wanita lain dalam kategori All-Event dengan mengumpul 2,866 jatuhan pin selepas dua acara (perseorangan dan beregu).
Sementara itu, dua lagi gandingan negara, Hee Kar Yen-Dayang Khairuniza (2,475 pin) dan Natasha Roslan-Radin Nur Najwa (2,338 pin), masing-masing menamatkan saingan di tempat ketujuh dan ke-14.
Kesemua pemain akan meneruskan saingan dalam acara trio untuk kedua-dua kategori, lelaki dan wanita esok. - BERNAMA