Selasa, 20 Januari 2015 | 5:50pm
Pemain skuasy nombor dua Malaysia, Low Wee Wern.
Pemain skuasy nombor dua Malaysia, Low Wee Wern.

Skuasy: Wee Wern gigit jari tersingkir di New York

KUALA LUMPUR: Pemain skuasy nombor dua Malaysia, Low Wee Wern ditumpaskan pemain handalan Amerika Syarikat, Amanda Sobhy dalam Kejohanan Juara-Juara di Grand Central Terminal di New York, Isnin.

Menurut laman web rasmi kejohanan, www.tocsquash.com, Amanda - bintang pilihan tempatan memenangi set pertama 11-7, namun Wee Wern berjaya mengekangnya daripada mendominasi permainan pada dua set berikutnya.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu memenangi set kedua dan ketiga 11-5, 11-6, namun pada set keempat Amanda yang pada awalnya ketinggalan 5-1, berjaya bangkit untuk menyamakan mata 6-6 dan terus menguasai permainan untuk menang 11-6.

Set penentuan menyaksikan Wee Wern sekali lagi mendahului 7-5, bagaimanapun beliau mula melakukan kesilapan demi kesilapan yang memberi peluang kepada pemain Amerika itu untuk mengawal permainan dan menang 11-7.

Amanda akan berdepan pemain nombor tiga dunia Raneem El Welily dari Mesir yang mengalahkan rakan senegara, Omneya Abdel Kawy 11-7,15-13, 11-7 untuk menempah tiket ke suku akhir.

Sementara itu, ratu skuasy Malaysia, Datuk Nicol Ann David akan bertemu pemain Australia, Rachel Grinham dalam perlawanan pusingan pertama pada hari ini. (8.15 pagi waktu Malaysia, Rabu). - BERNAMA

Berita Harian X