Selasa, 16 Disember 2014 | 10:21am
BINTANG skuasy negara, Datuk Nicol David.
BINTANG skuasy negara, Datuk Nicol David.

Nicol lepasi pusingan pertama Kejuaraan Dunia

KAHERAH: Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David melepasi halangan pusingan pertama di Kejuaraan Dunia, di sini selepas menewaskan jaguh muda Mesir, Yathreb Adel 11-9, 11-6, 11-3, awal pagi tadi.

Adel, salah seorang pemain Mesir paling meningkat berjaya memberi cabaran kepada juara dunia tujuh kali Malaysia itu terutama pada set pertama apabila mendahului 8-6.

Begitupun, jurang pengalaman yang dimiliki Nicol jelas terlalu besar buat pemain berusia 18 tahun itu yang akhirnya tumbang sebelum set kedua dan ketiga menjadi lebih mudah.

"Ia sesuatu yang istimewa untuk memenangi perlawanan dengan keputusan 3-0," kata Nicol. "Ini kali pertama saya menentang Yathreb, dia pemain yang berbakat, kamu perlu menjangkakan apa saja.

"Saya gembira untuk melepasi halangan seperti ini," katanya.

Juara dunia dari England, Laura Massaro turut berdepan sedikit kesukaran pada pusingan pertama sebelum menang pertembungan empat set 11-3, 13-11, 8-11, 11-7 juga kepada pemain muda Mesir, Mariam Metwally.

"Saya perlu membaca permainannya terlebih dulu. Dia satu-satunya pemain yang di dalam undian yang saya tidak pernah temui sebelum ini," kata Massaro.

Lawan Nicol di pusingan kedua ialah pemain England, Emily Whitlock dengan Massaro dijadual menentang pemain pilihan kesembilan dari Hong Kong, Annie Au.

Begitupun kejutan terbesar yang berlaku pada pusingan pertama ialah penyingkiran pemain pilihan empat dunia, Nour El Sherbini, 19 yang tewas kepada rakan senegaranya berusia 17 tahun, Nouran Gohar 11-6, 12-10, 4-11, 15-13.

Pemain nombor tiga dunia dari Mesir, Raneem El Weleily juga berdepan kesukaran untuk mara ketika bertemu juara remaja dunia, Habiba Mohamed, 15 dan menang dengan keputusan 11-9, 11-6, 9-11, 11-7. - AFP

Berita Harian X