Khamis, 16 Oktober 2014 | 11:29am

UEFA buka kertas siasatan insiden kelayakan Euro 2016

BELGRADE: Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) membuka kertas siasatan terhadap Persatuan Bola Sepak Serbia dan Albania susulan insiden keganasan yang meletus ketika aksi kelayakan Euro 2016 sehingga memaksa perlawanan dibatalkan, semalam.

Perlawanan membabitkan dua musuh dari wilayah Balkan itu berlangsung dalam suasana tegang dan bertambah panas apabila sebuah dron terbang memasuki padang sambil membawa bendera 'Greater Albania'.

Bendera yang memiliki unsur politik itu kemudian ditarik pemain Serbia sehingga tercetus perbalahan di antara kedua-dua pasukan ketika perlawanan memasuki penghujung babak pertama tanpa sebarang jaringan.

Tindakan provokasi itu turut mengakibatkan penyokong Serbia mula merusuh dan memasuki padang untuk menyerang pemain Albania kerana tidak berpuas hati dengan tindakan terbabit.

"Prosiding disiplin sudah pun dibuka ke atas Persatuan Bola Sepak Serbia kerana memulakan pembakaran/membaling bunga api dan barangan ke atas padang, gangguan penyokong, pencerobohan ke padang, organisasi yang tidak cekap dan menggunakan pancaran laser," kata badan induk itu dalam satu kenyataan.

"Kertas prosiding juga dibuka ke atas Persatuan Bola Sepak Albania kerana enggan bermain dan memaparkan kain rentang yang tidak dibenarkan."

Kes akan didengari oleh Badan Disiplin Pengawalan dan Etika UEFA pada 23 Oktober ini. - Reuters

Berita Harian X