Selasa, 23 September 2014 | 2:58pm

Sukan Asia: Nicol pertahan emas, 1-2 untuk skuasy Malaysia

RATU skuasy negara, Datuk Nicol Ann David (kanan) muncul juara perseorangan wanita buat kali keempat dalam Sukan Asia selepas memenangi pingat emas menewaskan rakan senegara, Low Wee Wern dalam final, di Gelanggang Skuasy Yeorumul, Incheon, Korea Selatan, hari ini. - Foto Yazit Razali

INCHEON: Ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David muncul juara perseorangan wanita buat kali keempat dalam Sukan Asia selepas memenangi pingat emas menewaskan rakan senegara, Low Wee Wern dalam final, di sini, hari ini.

Pemain nombor satu dunia itu memerlukan 54 minit sebelum dapat menewaskan lawan senegara itu 9-11, 11-6, 11-5, 12-10 dan berjaya mempertahan gelaran di Gelanggang Skuasy Yeorumul.

Kemenangan itu sekali gus menceriakan kontinjen Malaysia yang sudah mengutip dua emas selepas empat hari kejohanan. Terdahulu, emas pertama disumbang oleh atlet wushu, Tai Cheau Xuen, Sabtu lalu.

"Ia hebat dan saya tidak dapat mempercayai saya sudah menang. Ini kerana saya berdepan ranjau dalam perlawanan yang menarik ini. Ia juga satu perasaan bagus untuk menentang rakan senegara," kata Nicol yang sebelum ini muncul juara perseorangan pada 1998 (Bangkok), 2006 (Doha) dan 2010 (Guangzhou).

Gadis berusia 31 tahun dari Pulau Pinang itu juga menang satu emas dalam acara berpasukan Sukan Asia 2010 di Guangzhou.

 PEMAIN skuasy negara, Datuk Nicol Ann David berjaya menewaskan rakan senegara, Low Wee Wern pada perlawanan akhir skuasy wanita di Pusat Skuasy Yuerumul pada Sukan Asia ke-17 Incheon di sini hari ini. - Foto Yazit Razali

Nicol kini adalah atlet negara paling berjaya dengan lima emas dalam Sukan Asia dan berkongsi pengiktirafan itu bersama Tan Sri Dr M Jegathesan (olahraga), Ng Boon Bee (badminton) dan Shalin Zulkifli (bowling).

Jaguh negara itu menambah dia amat gembira di atas kejayaan ini dengan memenangi emas dan perak untuk Malaysia.

"Ia satu perlawanan dan acara hebat untuk Malaysia. Anda rasa seperti kejayaan ini akan terus berpanjangan lagi," katanya.

Sementara itu, Wee Wern berkata ia sentiasa sukar untuk mengatasi rakan baiknya yang juga pemain nombor satu dunia.

"Saya bermain baik tapi Nicol lebih mantap pada penghujung babak permainan," katanya.

Kedua-dua, Nicol dan Wee Wern akan beraksi dalam acara berpasukan, esok bersama Delia Arnold dan Vanessa Raj. - BERNAMA

Berita Harian X