Beregu wanita, lelaki badminton sama-sama cemerlang
Glasgow: Kontinjen negara menutup saingan pada temasya Sukan Komanwel di sini, semalam dengan persembahan cemerlang apabila mengutip emas berganda menerusi acara beregu badminton.
Bagaimanapun dua butir pingat yang diperoleh di Arena Emarites itu hanya mampu membolehkan Malaysia mengumpulkan enam emas keseluruhan, kurang satu daripada yang disasarkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
Dua emas itu masing-masing diperoleh menerusi gandingan wanita, Woon Khe Wei-Vivian Hoo dan beregu lelaki, Goh V Sem-Tan Wee Kiong yang sekali gus menjelmakan betapa slogan keramat `Malaysia Boleh' terbukti berjaya menyemarakkan atlet negara untuk beraksi cemerlang ketika beraksi peringkat final.
Ia juga adalah emas kedua dan ketiga menerusi sukan badminton pada kali ini, selepas acara berpasukan campuran.
Pingat emas pertama semalam dan kelima untuk negara itu diperoleh menerusi gandingan Khe Wei-Vivian Hoo yang melunaskan semangat Malaysia Boleh apabila membenam gandingan pilihan, Jwala Gutta-Ashwini Ponnappa dari India 2-0.
Pemenang pingat emas Sukan SEA Myanmar itu menceriakan kontinjen negara seperti dijanjikan dengan kemenangan bergaya ke atas juara bertahan itu, 21-17 dan 23-21.
Kedua-dua beregu terbabit sama hebat dan handal kerana pada set pertama berlaku kejar mengejar dalam pungutan mata sebelum pasangan Malaysia menang pada set pertama 21-17.
Bagaimanapun, kedudukan Khe Wei-Vivian pada set kedua agak mencemaskan kerana pada satu ketika ketinggalan 16-21, tetapi ketenangan mereka membolehkan mengejar juara Sukan Komanwel New Delhi, empat tahun lalu itu 20-20, sebelum menang mutlak 23-21.