Khamis, 21 Ogos 2014 | 9:42pm
NICOL David (kiri) beraksi ketika menentang Annie Au dari Hong Kong pada Skuasy Terbuka Malaysia CIMB, di Kuala Lumpur, malam tadi. - Foto Goh Thean Howe
NICOL David (kiri) beraksi ketika menentang Annie Au dari Hong Kong pada Skuasy Terbuka Malaysia CIMB, di Kuala Lumpur, malam tadi. - Foto Goh Thean Howe

Skuasy Terbuka Malaysia: Nicol mara separuh akhir, mula gapai impian juara

KUALA LUMPUR: Kini hanya ada dua lagi halangan menjadi pemisah kepada impian Datuk Nicol Ann David untuk bergelar juara Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia CIMB buat kali kesembilan.

Di Nu Sentral Mall di Brickfields, malam ini pemain nombor satu dunia itu mudah menewaskan Annie Au dari Hong Kong 11-7, 12-10, 11-4 untuk mara ke separuh akhir. Pemain pilihan pertama itu cuma mengambil masa 38 minit sahaja untuk mengatasi pemain pilihan ketujuh dari Asia itu dalam suku akhir.

Sebelum ini, ratu skuasy negara berasal dari Pulau Pinang itu menang lapan kali pada 2005, 2006, 2007, 2008, 2009, 2010, 2011 dan 2013.

"Annie bertindak baik hari ini ...saya perlu berwaspada setiap kali kerana dia memberi saingan yang kuat," kata pemain berusia 30 tahun itu.

Dalam separuh akhir, hari ini dia akan berdepan pemain nombor tiga dunia dari Mesir, Raneem El Weleily.

"Saya sudah bersedia. Selepas menang 3-0 perlawanan hari ini saya dapat rasa hebat dan tak sabar turun ke gelanggang esok."

"Saya harap kami akan memberi satu persembahan baik," kata Nicol lagi.

Raneem mara ke kelompok empat teratas selepas menegaskan pemain England, Sarah-Jane Perry 11-4, 6-11, 12-10, 13-15, 11-6 dalam pertarungan 50 minit.

Dalam satu lagi perlawanan suku akhir, pemain bukan pilihan, Nour El Tayeb mara selepas lawannya dan pilihan kelapan, Madeline Perry terpaksa berhenti gara-gara kecederaan otot kaki kiri. Ketika itu Nour mendahului set keempat 9-2.

Nour menang 2-1 dengan keputusan 11-9, 17-15, 4-11 dan akan bertemu Amanda Sobhy dari Amerika Syarikat yang terdahulu menewaskan Habiba Mohamed Ahmed 11-5, 11-6, 11-7 dalam tempoh 25 minit sahaja. - BERNAMA

KEPUTUSAN

Suku akhir wanita

Raneem El Weleily (EGY) mn Sarah-Jane Perry (ENG) 11-4, 6-11, 12-10, 13-15, 11-6

Datuk Nicol Ann David (MAS) mn Annie Au (HKG) 11-9, 11-5, 11-5.

Nour El Tayeb (EGY) mn Madeline Perry (N IRE) 11-9, 17-15, 4-11 (berhenti)

Amanda Sobhy (AS) mn Habiba Mohamed Ahmed (EGY) 11-5, 11-6, 11-7

Berita Harian X