Khamis, 21 Ogos 2014 | 7:41pm
 NOVAK Djokovic sudah hilang fokus selepas berkahwin.
NOVAK Djokovic sudah hilang fokus selepas berkahwin.

Terbuka AS: Djokovic hilang fokus selepas kahwin tapi tetap pilihan juara - McEnroe

NEW YORK: Legenda tenis, John McEnroe beranggapan Novak Djokovic sudah hilang fokus selepas berkahwin dan faktor ini boleh menyentap cabaran pemain Serbia itu yang dilabel pilihan menjuarai tenis Terbuka AS minggu depan.

"Saya nampak minda Novak seperti hilang arah sedikit ketika ini. Dia baharu berkahwin dan persembahannya selepas Wimbledon agak berbeza," kata bekas pemenang Grand Slam dari Amerika Syarikat itu, hari ini.

"Saya percaya ia agak sukar baginya kembali semula ke landasan kemenangan. Tapi saya turut percaya dia akan bersedia nanti di sini kerana dia pemain hebat dan kebal."

Djokovic berkahwin dengan teman wanita lamanya, Jelena Ristic selepas muncul juara Wimbledon, Jun lalu menewaskan Roger Federer dalam satu final epik tetapi prestasinya menurun selepas itu apabila kecundang dalam kejohanan di Toronto dan Cincinnati.

Pada pengamatan McEnroe, Djokovic dan Federer dijangka akan bertarung dalam final di Flushing Meadows nanti sambil percaya pemain Britain, Andy Murray - juara 2012 di sini - boleh menjadi Terbuka AS untuk kembali menemui prestasi asal.

Dia turut melabelkan pemain Kanada, Milos Raonic dan Grigor Dimitrov dari Bulgaria untuk memberi saingan sengit kepada pemain pilihan utama.

Federer yang menjuarai Terbuka AS lima kali berturut-turut dari 2004 memenangi gelaran di Cincinnati, minggu lalu dan sebelum itu ke final di Toronto. Ramai percaya tanpa Rafael Nadal pemain Switzerland berusia 33 tahun itu mampu memburu gelaran Grand Slam ke-18. - AFP

Berita Harian X